Penganut Hindu B40 harap cahaya Deepavali bawa perubahan


Elill Easwaran

Keluarga Hindu dalam kumpulan B40 merasakan sambutan Deepavali pastinya akan menjadi lebih meriah tahun ini walaupun masih merana akibat pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2021.

KELUARGA Hindu dalam kumpulan B40 berharap sambutan Deepavali tahun ini akan menjadi permulaan kepada perkara yang lebih baik.

Selepas dua tahun perayaan diredam di tengah-tengah kehilangan pendapatan selain pelbagai sekatan pergerakan untuk membendung penularan Covid-19, keluarga dari rumah pangsa kos rendah di Lembah Klang meletak keyakinan tinggi untuk permulaan baharu.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight sambutan Deepavali pastinya akan menjadi lebih meriah tahun ini walaupun masih merana akibat pandemik.

“Kami satu keluarga sangat tunggu Deepavali ini sebab kami nampak ini sebagai permulaan baharu memandangkan keadaan sedang kembali normal,” kata Murugan Periasamy, 45 tahun.

Murugan dan keluarganya tinggal di rumah pangsa Desa Mentari di Sunway, Selangor. Katanya walaupun keluarganya tidak mampu beli pakaian baharu untuk perayaan tahun ini, mereka tetap gembira dengan sekadar apa yang ada sahaja.

“Saya bersyukur kerana beberapa kumpulan masyarakat sivil tolong kami bagi bahan makanan untuk dimasak untuk Deepavali,” katanya.

Sambil menghargai bantuan kumpulan tersebut, Murugan sekeluarga turut memainkan peranan dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik di flat mereka.

“Kami sekeluarga mahu beri makanan ringan India kepada keluarga lain yang tinggal di flat ini sebab kami telah menerima bantuan daripada kumpulan,” katanya.

Ini, katanya, adalah maksud sebenar Deepavali, membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Jadi kami tidak ada sebarang rungutan. Kami berterima kasih atas bantuan yang kami terima dan gembira dapat beri kepada penduduk kurang bernasib baik di sini,” kata Murugan.

Seorang lagi penganut Hindu yang menantikan sambutan tahun ini ialah Muniandy Velu berusia 54 tahun dari rumah pangsa kos rendah Intan Baiduri di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, di sebalik kesusahan yang terpaksa dihadapi keluarganya, mereka tetap menantikan Deepavali tahun ini.

“Saya dan isteri diberhentikan kerja semasa pandemik.

“Saya pernah jadi pemandu van di sebuah syarikat tetapi sejak semua orang mula bekerja dari rumah, mereka tidak lagi perlukan saya,” katanya menambah isterinya juga hilang pekerjaan sebagai pembantu rumah sambilan.

Muniyandi kini bekerja di sebuah kedai runcit tempat sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata empat orang ahli keluarganya mungkin tidak yang terbaik untuk sambut Deepavali namun berharap ia akan jadi permulaan kepada sesuatu yang lebih bagus.

“Saya hanya mampu beli pakaian baharu untuk anak-anak saya, tetapi tidak mampu membeli apa-apa untuk isteri saya.

“Semoga keadaan saya akan bertambah baik menjelang Deepavali akan datang.”

Premla Shankar, 45, yang bekerja sebagai tukang cuci berkata Deepavali adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu keluarganya sejak sekian lama.

Ibunya tinggal di Pulau Pinang dan telah dijangkiti virus itu beberapa bulan lalu. Keluarganya tidak dapat melawat kerana larangan rentas negeri.

“Depavali ini kami akan berada di Pulau Pinang bersamanya,” kata Premla yang tinggal di perumahan kos rendah Sri Pantai di Kuala Lumpur.

Ini juga merupakan kali pertama dalam dua tahun beliau dan keluarganya akan menyambut Deepavali kerana sebelum Covid-19, bapanya meninggal dunia.

Pada Isnin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat Malaysia yang menyambut Deepavali supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi melindungi diri dan orang tersayang.

Beliau berkata semua orang perlu terus berwaspada semasa meraikan Perayaan Cahaya. – 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen