MILITAN Hindu menyerang dan membakar rumah bekas menteri luar India, kata polis, dalam insiden terbaharu keganasan agama yang dikatakan pengkritik mencetuskan kemarahan ramai di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi.
Salman Khurshid, daripada parti Kongres pembangkang utama, menerbitkan sebuah buku bulan lalu yang membandingkan jenis nasionalisme Hindu berkembang di bawah Modi dengan kumpulan ekstremis Islam seperti Isis.
Polis berkata, sekumpulan kira-kira 20 individu daripada kumpulan Hindu tempatan berkumpul di luar rumah Khurshid berhampiran bandar utara Nainital semalam.
“Mereka melaungkan slogan, membaling batu, memecahkan beberapa tingkap, menggeledah (masuk) dan memulakan kebakaran (di pintu),” kata ketua polis tempatan Jagdish Chandra kepada AFP.
The Times of India melaporkan kumpulan itu telah membakar patung Khurshid, melepaskan tembakan dan mengancam menantu perempuannya dengan pistol.
Khurshid, yang berkhidmat sebagai menteri luar dari 2012 hingga 2014, tidak bersama keluarganya ketika kejadian tetapi menyiarkan imej selepas serangan itu di media sosial.
Aktivis berkata minoriti agama di India yang majoritinya penganut Hindu berdepan peningkatan tahap diskriminasi dan keganasan sejak Parti Bharatiya Janata (BJP) nasionalis Hindu Modi berkuasa pada 2014.
Tahun lalu, Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS menyenaraikan India sebagai “negara yang menjadi perhatian” buat kali pertama sejak 2004.
Kerajaan Modi menolak agenda radikal “Hindutva” (hegemoni Hindu) dan menegaskan orang dari semua agama mempunyai hak yang sama.
Negeri Uttarakhand, tempat kejadian terbaharu berlaku, nampaknya merupakan kawasan panas.
Bulan lalu, sekumpulan kira-kira 200 orang dilaporkan menyerang gereja Kristian di negeri itu. Ketua tempatan BJP berkata bangunan itu digunakan untuk “perhimpunan mencurigakan”.
Shashi Tharoor, ahli Parlimen terkemuka dari Kongres, berkata serangan ke atas rumah Khurshid adalah “memalukan.” – AFP, 16 November 2021.
Komen