Protes #Turun perlu diteruskan, kata Young Syefura 


Elill Easwaran

Adun Ketari Young Syefura Othman berkata desakan terhadap kerajaan untuk bertindakan mesti diteruskan dan menambah yang protes juga boleh diadakan di negeri lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Julai, 2022.

PROTES agar kerajaan melakukan lebih banyak lagi bagi membendung kenaikan kos sara hidup, termasuk pemotongan gaji menteri akan diteruskan, kata Adun Ketari Young Syefura Othman susulan bantahan pelajar di ibu negara pada Sabtu lalu.

Wakil rakyat DAP itu berkata desakan terhadap kerajaan untuk bertindakan mesti diteruskan dan menambah yang protes juga boleh diadakan di negeri lain.

“Protes tidak akan berhenti sehingga pilihan raya umum dan saya harap rakyat dapat melihat yang bantahan kami adalah secara aman,” katanya di ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur di mana beliau dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau adalah antara 11 individu yang dipanggil polis hari ini untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan pada Sabtu di luar kompleks beli-belah Sogo. 

Secara keseluruhan, pihak polis mengenal pasti 30 individu yang akan dipanggil.

Mengenai mengadakan protes di negeri lain, Young Syefura berkata protes diadakan setakat ini dilakukan di Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai untuk menyertainya.

Beliau ditanya mengenai komen di media sosial yang menggesa penunjuk perasaan berdemonstrasi di Putrajaya bagi mendapatkan impak lebih besar.

Ketua Pemuda PKR Adam Adli yang turut dipanggil hari ini berkata golongan muda akan terus bertegas sehingga kerajaan mengambil tindakan.

“Kami tidak menyuarakan perkara politik, tetapi masalah yang dihadapi oleh orang ramai,” kata Adam.

Seorang lagi ahli politik yang memberikan keterangannya hari ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii, berkata kerajaan harus berhenti menakut-nakutkan penunjuk perasaan dengan tindakan memanggil mereka bagi mendapatkan keterangan.

“Polis mempunyai lebih banyak perkara yang perlu dilakukan daripada memanggil setiap seorang daripada kami untuk memberikan kenyataan.”

Yii juga berkata pemotongan gaji menteri sepatutnya sudah lama dilakukan.

“Kerajaan harus sedar kita mempunyai salah satu Kabinet terbesar di dunia,” kata doktor perubatan itu.

Pada Sabtu, polis menahan kira-kira 80 pelajar universiti yang berkumpul di depan Sogo daripada berarak menuju ke Dataran Merdeka. 

Polis akhirnya membenarkan mereka membuat protes di depan kompleks membeli-belah itu.

Antara tuntutan mereka, selain memotong gaji menteri adalah bagi subsidi dikekalkan, mengawal harga barang, menangani keselamatan makanan dan menambah baik pakej bantuan untuk rakyat.

Bantahan dibuat apabila harga makanan dan barangan keperluan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan ketika kerajaan berusaha untuk merasionalisasikan subsidi agar hanya mereka yang memerlukan disasarkan.

Perhimpunan pada Sabtu adalah kali bagi golongan belia mengadakan protes. Perhimpunan pertama, yang diadakan oleh kesatuan pelajar, diadakan pada 2 Julai di luar Pasar Seni Kuala Lumpur.

Penganjur protes menggelarkan diri mereka dan gerakan protes sebagai “Turun” dan tanda palang dengan perkataan itu digunakan di media sosial. – 25 Julai, 2022.              



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen