Di mana empati kepada mangsa banjir, Young Syefura soal Nazri


Noel Achariam

Adun Ketari Young Syefura Othman berkata cadangan menjadikan bencana banjir sebagai tarikan pelancongan sebagai tidak wajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2022.

YOUNG Syefura Othman membidas kenyataann Nazri Abdul Aziz yang berkata banjir berlaku setiap tahun berpotensi menjadi tarikan pelancongan.

Adun Ketari itu mempersoalkan perasaan empati Nazri terhadap mangsa banjir yang mengalami kerugian besar.

“Di manakah empati dan sensitiviti Datuk Seri Nazri Aziz ketika menyuarakan pendapat ini untuk diambil kira oleh kerajaan?

“Ke mana hilangnya belas simpati kepada mangsa apabila kita seolah-olah meraikan kesusahan dan musibah yang ditimpa oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Young Syefura berkata, walaupun beliau menyokong idea dan pemikiran di luar kotak oleh mana-mana pihak yang boleh membantu pembangunan negara, namun pada pendapatnya ia adalah idea seorang manusia yang jauh daripada realiti masyarakat.

Semalam, dalam temu bual dengan Sinar Daily, Nazri berkata negara harus mencari peluang ketika susah daripada menangisi perkara yang jelas di luar kawalan rakyat.

Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas berkata banjir adalah satu peluang untuk mempromosikan pelancongan kesukarelawanan dan perancangan awal boleh dilakukan agar ia menjadi kenyataan.

“Jika anda tahu ia akan datang, maka mulakan perancangan sekarang.

“Mungkin kita boleh mengadakan pelancongan sukarela di mana orang ramai datang ke negara ini untuk membantu kita menghadapi banjir, dan ini bukan tentang mereka datang ke sini hanya untuk berseronok tetapi untuk mereka juga belajar,” katanya kepada Sinar Daily.

Young Syefura berkata situasi pasca banjir terutama beberapa hari selepas banjir berlaku, mereka memerlukan ramai sukarelawan untuk membantu mangsa dalam kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah salah dari segi etika dan pemikiran jika kerajaan melihat ini sebagai sumber pendapatan negara atau negeri.

“Saya ingin menjemput mana-mana pihak yang sudi untuk turun ke kawasan DUN Ketari yang masih lagi tidak menerima bantuan baik pulih pasca banjir untuk mendengar sendiri keluhan mangsa-mangsa banjir ini.

“Saya juga ingin menjemput mana-mana pihak berdialog dengan semua mangsa banjir mengenai trauma yang mereka hadapi sebagai mangsa banjir.

Mungkin dengan cara ini pemimpin yang tuli dan buta hati boleh lebih memahami perasaan rakyat yang masih terkapai-kapai mencari semula langkah untuk menyambung sisa hidup mereka setelah seluruh harta benda dan kehidupan hanyut dibawa arus banjir.”

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengkritik cadangan Nazri yang banjir tahunan negara boleh dilihat sebagai pelancongan kesukarelawanan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata daripada melihat banjir yang menjejaskan mata pencarian sebagai sumber pelancongan, isu itu perlu diselesaikan.

Beliau berkata banjir tahun ini sahaja meragut lebih 40 nyawa dan kerugian RM6.5 bilion.

“Perlu ada usaha pragmatik untuk menyelesaikan banjir, bukan menggalakkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq berkata adalah lebih baik pelancong melawat Malaysia tanpa perlu menyaksikan sebarang bencana.

Pengguna Twitter juga berkata daripada menjadikan banjir sebagai tarikan, kerajaan harus berusaha untuk mencegah bencana alam itu. – 19 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen