Pakatan masih perlukan pemimpin lama, kata Young Syefura


Alfian Z.M. Tahir

Adun Ketari Young Syafura berkata pemimpin lama masih diperlukan lantaran pengalaman luas mereka dalam politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Januari, 2022.

GANDINGAN antara ahli politik veteran dan pemimpin muda dalam Pakatan Harapan (PH) perlu untuk membawa parti dan negara mengorak langkah ke depan, kata Adun Ketari Young Syefura Othman.

Wakil rakyat DAP itu berkata meski wujud gesaan supaya pelapis muda diberi laluan menerajui gabungan itu, pemimpin lama masih diperlukan lantaran pengalaman luas mereka dalam politik.

“Bagi saya kita tak perlu ambil langkah drastik. Tanpa mereka (pemimpin veteran), sudah tentu kami tak akan berada di sini.

“Pengalaman dan kebijaksanaan mereka masih di perlukan. Saya juga percaya mereka memerlukan pemimpin muda untuk saling bekerjasama dan membawa parti maju ke depan,” kata Young Syefura, 32, dalam temu bual bersama InsightTalk.

Dalam PKR misalnya, wujud gesaan supaya presiden parti yang juga Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, 74, memberi laluan kepada muka baharu. Gesaan itu dikuatkan lagi selepas PKR kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu.

“Kita mesti berganding bahu untuk bergerak ke depan, bukan saling mengenepikan ahli dalam parti,” katanya mengulas perkara itu.

Dua hari selepas PH kalah PRN Melaka, seorang Adun DAP menggesa supaya Anwar berundur sebagai ketua pembangkang, dan gabungan itu perlu meneroka hala tuju dan konsensus baru secepat mungkin.

Dalam satu catatan di Facebook, Adun Bilut Lee Chin Chen berkata sekiranya PH gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbang kemungkinan untuk keluar daripada gabungan dan membentuk kerjasama dengan parti lain. 

Young Syafura berkata walau tidak dinafikan pemimpin lama masih diperlukan, namun sudah tiba masanya Malaysia mencari jalan untuk mengetengahkan perdana menteri dari kalangan orang muda.

Ditanya mengenai pendapat peribadinya, Young Syafura melihat Nurul Izzah Anwar sebagai calon paling berpotensi menjadi perdana menteri wanita pertama Malaysia.

Ini kerana Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen PKR dan anak perempuan Anwar, mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk memimpin negara.

“Beliau ada kualiti seorang perdana menteri. Malah pengalaman beliau dalam politik cukup luas. Walaupun agak muda, saya percaya beliau ada kemampuan.

“Walaupun saya dari DAP, tetapi perlu akui beliau mempunyai karisma. Dan saya rasa sudah tiba masanya kita letak muka baharu,” ujarnya.

Nurul Izzah, 41, merupakan ahli Parlimen bagi Lembah Pantai selama dua penggal sebelum menang kerusi Parlimen Pauh pada pilihan raya umum 2018, mengalahkan Shahrizat Abdul Jalil yang ketika itu ketua Wanita Umno.

Pembabitan bekas naib presiden PKR itu bermula sejak gerakan Reformasi selepas bapanya dipecat daripada kerajaan Barisan Nasional serta dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan liwat pada 1998. – 28 Januari, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen