Mahkamah benarkan bekas ahli Parlimen Umno cabar Pandikar berhubung RUU355


Asila Jalil

Tawfik Ismail memfailkan saman pemula tahun lalu bagi mengisytiharkan RUU355 dibentangkan tidak berperlembagaan dan melanggar prosedur Parlimen, menamakan Pandikar Amin Mulia selaku speaker dan Setiausaha Roosme Hamzah sebagai defendan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan bekas ahli Parlimen Umno Tawfik Ismail mencabar Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia terhadap rang undang-undang (RUU) persendirian dibentangkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bagi meminda undang-undang syariah persekutuan untuk membolehkan hukuman lebih keras.

Peguam Tawfik, Rosli Dahlan berkata mahkamah berpendapat Parlimen bertanggungjawab terhadap mahkamah berhubung bidang kuasa yang melibatkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini, mahkamah mengatakan Parlimen bertanggungjawab kepada mahkamah. Speaker akan dipertanggungjawabkan jika beliau tidak mengikut peruntukan Perlembagaan,” kata Rosli kepada pemberita di mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Keputusan itu dibuat di dalam kamar oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) Kamaludin Md Said.

Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355, bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk meningkatkan hukuman di bawah undang-undang syariah.

Hadi dibenarkan oleh speaker Dewan Rakyat membentangkan usul RUU355 pada April tahun lepas tetapi sesi itu ditangguhkan tanpa perdebatan.

Tawfik memfailkan saman pemula tahun lalu bagi mengisytiharkan RUU355 itu tidak berperlembagaan dan melanggar prosedur Parlimen, menamakan Pandikar selaku speaker dan Setiausaha Roosme Hamzah sebagai defendan.

Pandikar kemudian memohon membatalkan saman pemula Tawfik itu.

Rosli berkata RUU tidak boleh dibentangkan jika ia tidak mematuhi syarat perlembagaan seperti mendapatkan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja bagi undang-undang atau hal berkaitan dengan Islam.

“Perkara 38 (Perlembagaan Persekutuan) berkata perkara bersifat ini mesti dirujuk dengan Majlis Raja-Raja.

“Bagaimanakah Parlimen, badan pembuat undang-undang tertinggi di negara ini, melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

“Plaintif mengatakan Perlembagaan mesti dihormati dan prosesnya diikuti. Tawfik cuba memastikan Parlimen dan semua cabang kerajaan mematuhi undang-undang, dan kami cuba melindungi hak-hak Raja-Raja.”

Beliau menambah Pandikar bergantung kepada hak keistimewaan Parlimen dan memilih untuk tidak bertindak balas terhadap afidavit yang difailkan oleh plaintif.

“Beliau memilih untuk tidak menjawab. Justeru, kami mengatakan speaker Parlimen yang ditadbir oleh Perlembagaan, perlu menjawab soalan itu. Jika anda tidak mahu menjawab, beliau mesti menjawab kepada mahkamah. Sebagaimana saya katakan, ini adalah permulaan, bukannya pengakhiran,” tambah Rosli. – 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen