Pandikar Amin mohon batal saman Mohamed Tawfik berhubung RUU355 


Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia selaku defendan dalam kes berkenaan memfailkan permohonan itu dua bulan lepas atas alasan saman itu adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2017.

YANG Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah memohon untuk membatalkan saman pemula yang difailkan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Mohamed Tawfik Ismail berhubung Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Pandikar Amin dan Roosme selaku defendan dalam kes berkenaan memfailkan permohonan itu dua bulan lepas atas alasan saman itu adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata permohonan itu bersandarkan Perkara 62(1) dan 63(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana persidangan Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kes itu disebut di dalam kamar Hakim Kamaludin Md Said, yang turut dihadiri peguam Mansoor Saat  mewakili Mohamed Tawfik.

Mahkamah menetapkan 11 Januari 2018, untuk pendengaran permohonan itu.

Pada 31 Mac 2017, Mohamed Tawfik selaku plaintif memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa usul oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah usul yang tidak mematuhi keperluan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memandangkan ia tidak disertakan dengan salinan RUU 355 serta huraian mengenai tujuan dan sebabnya dan ia perlu ditolak oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa tiada kebenaran diperoleh daripada Majlis Raja-Raja bagi RUU 355 atau sebarang pindaan yang dicadangkan melalui usul Abdul Hadi itu.

Mohamed Tawfik juga mendakwa RUU 355 adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan pindaan yang dicadangkan Abdul Hadi tidak boleh dibenarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat menurut Aturan 49 dan/atau Aturan 48 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja.

Beliau turut memohon perintah untuk mengetepikan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang didakwa bertindak secara salah membenarkan usul Abdul Hadi berkenaan RUU 355 untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat bagi sesi kelima Parlimen ke-13, sedangkan usul itu tidak mematuhi keperluan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tiada kebenaran telah diperoleh daripada Majlis Raja-Raja.

Permohonan itu dikemukakan atas alasan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah melanggar Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan ia adalah satu penghinaan terhadap institusi Majlis Raja-Raja jika membenarkan usul Abdul Hadi tanpa dirujuk dan dirunding dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. – Bernama, 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen