Pemuda PKR bimbang dengan idea gagasan khemah besar


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Perwakilan Pemuda PKR Sabah bimbang idea khemah besar akan mengulangi sejarah Langkah Sheraton, menyeru pemimpin mereka berhati-hati kerana ia hanya menguntung sekelompok, sahaja, bukannya rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Julai, 2022.

PERWAKILAN Pemuda PKR khuatir idea gagasan khemah besar akan mengulangi sejarah percaturan politik Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada hujung Februari 2020.

Perwakilan AMK Sabah Mohd Raffi Jamaluddin dalam sesi perbahasan kongres menegaskan gagasan khemah besar akan dilihat semata-mata perjuangan kelompok tertentu merebut kuasa berbanding perjuangan untuk rakyat.

“Saya dengan ini menyeru kepada pimpinan atas agar berhati-hati dengan gagasan khemah besar, seperti yang kita tahu, visi dan misi gabungan kita dalam Pakatan Harapan adalah ke arah perjuangan rakyat.

“Ingat kita adalah parti PKR, kita ada maruah, kita ada kekuatan kita sendiri, jangan disebabkan gagasan khemah besar, kita bukan lagi membela rakyat tetapi lebih dilihat seperti membolot kuasa,” katanya, berucap pada kongres tahunan sayap itu yang berlangsung di Shah Alam, hari ini.

Mohd Raffi khuatir gagasan itu akan memisahkan rakyat yang menjadi tunjang utama perjuangan parti.

“Saya sebagai anak muda kurang senang mendengar ada ahli parti yang sibuk dalam gagasan khemah besar sehingga mengabaikan faktor perjuangan kita.

“Kita mahu parti ini dilihat parti yang membela rakyat dan saya tegaskan sekali lagi, parti kita ini bukan gila kuasa, bukan seperti Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kita pernah merasai kita di paling bawah, kita pernah juga merasai berada di paling atas tetapi jangan lalai dengan kuasa yang diberi oleh rakyat kerana rakyat juga yang akan menjatuhkan kita sekiranya kita lalai memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Raffi sehubungan itu menyeru agar pimpinan atasan PKR menilai kembali gagasan tersebut.

“Bagi gagasan khemah besar ini bukan berlandas pangkal perjuangan rakyat melainkan gabungan bersyarat atas alasan kepentingan peribadi semata-mata.

“Kalau begini, di mana maruah parti,” tegasnya.

11 ahli Parlimen PKR dipecat dan keluar parti pada Februari 2020 selepas beberapa tahun parti terbelah antara kelompok yang berbeza.

“Tidakkah kita lupa atas sebab apa sebahagian besar pimpinan atas parti kita sebelum menderhakai perjuangan parti ini dengan Langkah Sheraton.

“Ini disebabkan oleh gagasan khemah berkelompok dengan visi yang berbeza, yang terjadi dalam parti kita sendiri.

“Saya menyeru kepada ahli parti mari rapatkan saf, lupakan khemah berkelompok dalam parti mahupun luar parti, fokus pada membela rakyat, bukan membolot kuasa,” tambahnya.

Antara pemimpin PKR yang dilihat menolak idea gagasan khemah besar adalah timbalan presiden yang terpilih Rafizi Ramli.

Beliau juga turut memuat naik barisan senarai 25 calon pilihannya untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang menurutnya adalah mereka yang menolak konsep gagasan khemah besar.

Perwakilan Kongres PKR Nasional akan memilih calon MPP esok. – 15 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen