Pemuda PKR mahu 30% kerusi pada PRU15, kata Adam Adli


Noel Achariam

Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim berkata beliau yakin sayap itu boleh mencapai kadar kemenangan 100% jika mereka diberi kerusi pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.

PEMUDA PKR mahu 30% daripada kerusi yang akan ditandingi parti pada pilihan raya akan datang diperuntukkan kepada calon muda, kata Adam Adli Abd Halim.

Ketua Pemuda PKR itu berkata beliau yakin sayap itu boleh mencapai kadar kemenangan 100% jika mereka diberi kerusi.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight sayap itu sudah mula mengenal pasti calon berpotensi dengan sekurang-kurangnya 10% daripada mereka dipilih.

“Kami sedang mencari untuk mendapatkan 30% daripada kerusi untuk bertanding. Kami sudah mendapat 10% calon yang sesuai untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN.

“Kami perlu bekerja keras, dan menggandakan usaha. Kami akan masuk (pilihan raya) untuk menang,” katanya.

Tidak pasti berapa banyak kerusi akan ditandingi PKR pada pilihan raya umum akan datang kerana ia perlu berkongsi kerusi yang ada dengan rakannya dalam Pakatan Harapan dan sekutu lain.

Buat masa ini terdapat 222 kerusi Parlimen dan 600 kerusi DUN.

Adam berkata ahli politik veteran harus memberi laluan kepada calon yang lebih muda, sambil menambah beliau akan terus membangkitkan isu itu dengan kepimpinan PKR sehingga beliau mendapat kuota 30% kerusi.

Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim berkata ahli politik veteran harus beri laluan kepada calon yang lebih muda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Julai, 2022.

“Kami menjangkakan akan diberikan 30% kerusi Parlimen dan DUN. Jika kami diberikan kurang daripada yang diharapkan, kami akan bangkitkan isu itu kepada pucuk pimpinan parti.

“Ini kerana kami mahu bercakap mengenai (peranan) pemuda, kami mahu bercakap tentang pendekatan baharu dan kami mahu bercakap tentang parti.

“Jadi, inilah peluang yang kita ada dalam pilihan raya.”

Adam berkata beliau yakin kepimpinan parti secara kolektif akan bersetuju dengan permintaan sayap itu.

“Keputusan dibuat oleh semua orang (dalam kepimpinan). Tiada keputusan dalam parti dibuat (oleh seseorang). Ini adalah masa yang sesuai untuk kepimpinan muda bangkit.”

“PKR tidak pernah mempunyai sebarang isu untuk meletakkan golongan muda di hadapan. Ini adalah tradisi dan kebanggaan parti,” katanya.

Ditanya sama ada akan bertanding pada PRU15, Adam berkata buat masa ini beliau tidak pasti kerusi Parlimen atau DUN mana yang akan ditandingi.

“Tetapi jika diberi peluang (bertanding) saya akan memikul tanggungjawab itu. Ia adalah cabaran, bukan ganjaran.

“Namun saya lebih suka fokus bagaimana memastikan parti memenangi pilihan raya.

“Jika ini bermakna saya perlu mengelak untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya, maka begitulah. Saya lebih gembira untuk melakukannya.” – 2 Julai, 2022.

Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim berkata ahli politik veteran harus memberi laluan kepada calon yang lebih muda, sambil menambah beliau akan terus membangkitkan isu itu dengan kepimpinan PKR sehingga beliau mendapat kuota 30% kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen