Langkah Sheraton khianat mandat pengundi, kata ahli Parlimen Tebrau


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong berkata seseorang ahli Parlimen itu dikira sebagai mengkhianati mandat rakyat apabila keluar parti sehingga menyebabkan kerajaan tumbang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

APABILA seseorang ahli Parlimen keluar parti sehingga menjadi punca kerajaan tumbang ia merupakan satu pengkhianatan terhadap mandat pengundi, kata Steven Choong.

Begitu juga tindakan parti keluar daripada gabungan pemerintah untuk membentuk kerajaan baharu dengan parti lain, kata ahli Parlimen Tebrau itu.

“Oleh itu, undang-undang antilompat parti baharu mesti meliputi parti yang membentuk kerajaan baharu selepas menjadi punca kejatuhan kerajaan lain, seperti dalam Langkah Sheraton,” kata Choong semasa perbahasan undang-undang antilompat parti di Dewan Rakyat hari ini.

Choong, ironinya, merupakan salah seorang daripada lebih sedozen ahli Parlimen yang meninggalkan PKR untuk menyokong perdana menteri Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pada 2021.

Pada 2020, Muhyiddin dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak) telah mengetuai beberapa ahli Parlimen meletakkan jawatan mereka daripada PKR hingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Ketika Muhyiddin mencetuskan kejatuhan kerajaan Pakatan dengan menarik keluar Bersatu, Azmin mengetuai sekumpulan 10 ahli Parlimen PKR yang sekali gus menyebabkan Pakatan hilang majoriti di Putrajaya.

Choong berkata undang-undang antilompat parti harus memasukkan mekanisme penarikan balik kerana pengosongan kerusi secara automatik akan menyebabkan kos yang besar kepada kerajaan dan pembayar cukai.

“Tetapi apa yang berlaku jika seorang ahli Parlimen melompat tiga tahun selepas pilihan raya umum?” kata Choong.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan yang mengatakan pilihan raya kecil tidak perlu diadakan sekiranya berlaku kekosongan jawatan apabila penggal Parlimen kurang daripada dua tahun.

Selepas keluar dari PKR, Choong telah memulakan parti baharu bernama Parti Bangsa Malaysia dengan bekas naib presiden PKR Larry Sng (PBM-Julau). – 11 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen