Langkah Sheraton untuk singkir Anwar, kata Chin Tong


Pengarah Strategi DAP Liew Chin Tong menolak pandangan bahawa pernah dipelawa untuk menyertai Langkah Sheraton kerana matlamat rampasan kuasa adalah untuk menghalang presiden PKR itu menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2021.

PENGARAH Strategi DAP Liew Chin Tong menolak pandangan bahawa pernah dipelawa untuk menyertai “Langkah Sheraton” kerana matlamat rampasan kuasa adalah untuk menghalang presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Pengarah strategi DAP itu berkata demikian berdasarkan mesyuarat dan pertemuannya bersama lingkungan dalaman Anwar dari 23 hingga 29 Februari, iaitu seminggu sebelum Langkah Sheraton.

“Idea untuk menjemput Anwar untuk membentuk kerajaan tanpa DAP tidak pernah bangkit, kerana tujuan asal utama Langkah Sheraton adalah untuk mengeluarkan Anwar daripada sifir terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Anwar memutuskan untuk kekal setia kepada Pakatan Harapan (PH)  dan menolak peluang untuk bersama dalam kerajaan yang disokong Bersatu, Umno dan PAS.

“Anwar tidak sanggup untuk tinggalkan sekutu PH, DAP kerana penyokong Langkah Sheraton hanya mahukan PKR dan bukan DAP,” kata Nik Nazmi ketika diminta mengulas berhubung kemungkinan kerjasama PKR-Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 hanya untuk jadikan Anwar perdana menteri. 

“Jika Anwar mahu jadi perdana menteri, sudah lama beliau buat. 

“Malah pada Langkah Sheraton (Februari 2020) beliau turut diminta untuk membawa PKR ke dalam gabungan baharu, namun ketika itu syaratnya adalah ‘tiada DAP’.

“Anwar tidak setuju,” kata ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini. 

Dalam kenyataannya hari ini, Liew berkata beliau tertarik dengan satu pandangan revisionis tentang Langkah Sheraton, yang mengemukakan kononnya Anwar Ibrahim dijemput untuk menyertai rampasan kuasa membentuk sebuah kerajaan Melayu, tetapi menolak tawaran itu kerana syaratnya DAP perlu ditolak.

“Mungkin pandangan tersebut bertujuan memberi ingatan kepada pimpinan DAP supaya bersyukur dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar berunding dengan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak dari Umno.

“Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘kluster mahkamah’. Tetapi adalah lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah,” tambahnya.

Liew berkata, pada 1 Julai 2019,  seorang penyokong Mohamed Azmin Ali bertemunya dan memberitahu DAP perlu memilih antara Anwar dan bekas timbalan presiden PKR itu, dan bersedia menerima akibat jika tidak memilih Azmin.

“Saya memberitahunya DAP mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar berlangsung secara lancar.”

Katanya lagi, pihak yang merancang rampasan kuasa tahu Anwar tidak mempunyai cukup sokongan untuk jadi perdana menteri tanpa DAP dan Amanah.

“Dengan membuang DAP dan Amanah, mereka tahu mereka membuang bilangan yang diperlukan untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri. Tanpa sokongan DAP dan Amanah untuk membolehkan Anwar menjadi PM, Azmin percaya dan yakin dia boleh mengambil alih PKR.

“Pada waktu itu, sentimen perkauman dibangkitkan untuk menampilkan DAP sebagai parti pengganas, komunis dan sebuah parti perkauman yang mesti dibuang daripada kerajaan.

“Rancangan mereka adalah untuk membawa 17 ahli Parlimen Umno dari kumpulan Hishammuddin, 18 ahli Parlimen PAS dan 18 ahli Parlimen GPS, berjumlah 53 untuk menggantikan ahli Parlimen DAP (42) dan Amanah (11), juga 53 jumlahnya,” jelas Liew, merujuk kepada kegagalan Hamzah Zainuddin, Hishammuddin Hussein dan Azmin untuk menggulingkan PH.

Beliau seterusnya berkata pada Januari dan Februari 2020, pimpinan DAP dan Amanah giat memujuk penyokong Anwar dan Dr Mahathir untuk menyejukkan suhu politik dan memastikan peralihan kuasa berlaku dengan jayanya antara kedua-dua tokoh tersebut selepas persidangan Apec pada November.

Azmin kemudiannya dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari secara terbuka berkempen supaya Dr Mahathir terus bertugas sehingga hujung penggal.

“Sementara pemimpin DAP dan Amanah, termasuk saya, berhujah dengan penuh semangat supaya gabungan Pakatan Harapan terus berpegang kepada peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar selepas Apec.

“Rakaman audio yang tersebar jelas membuktikan bagaimana DAP dan Amanah membela Anwar, dengan masing-masing menanggung risikonya.”

Menurutnya, DAP kekal setia menyokong kerajaan Dr Mahathir-Anwar/Anwar-Dr Mahathir bagi memastikan peralihan kuasa berlaku dengan lancar, dan sebuah kerajaan dibentuk dengan jayanya. – 21 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen