Anwar ditawar bawa PKR dalam Langkah Sheraton, kata Nik Nazmi 


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Anwar Ibrahim tolak peluang untuk bersama dalam kerajaan pemerintah yang disokong Bersatu, Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2021.

ANWAR Ibrahim pernah ditawarkan untuk menjadi sebahagian daripada “Langkah Sheraton” bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan namun presiden PKR menolak tawaran itu, kata Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Ketua setiausaha pengelola PKR itu berkata Anwar memutuskan untuk kekal setia kepada PH dan menolak peluang untuk bersama dalam kerajaan pemerintah yang disokong Bersatu, Umno dan PAS.

“Anwar tidak sanggup untuk tinggalkan sekutu PH, DAP kerana penyokong Langkah Sheraton hanya mahukan PKR dan bukan DAP,” kata Nik Nazmi ketika diminta mengulas berhubung kemungkinan kerjasama PKR-Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 hanya untuk jadikan Anwar perdana menteri. 

“Jika Anwar mahu jadi perdana menteri, sudah lama beliau buat. 

“Malah pada Langkah Sheraton (Februari 2020) baru-baru ini, beliau turut diminta untuk membawa PKR ke dalam gabungan baharu, namun ketika itu syaratnya adalah ‘tiada DAP’.

“Anwar tidak setuju,” kata ahli Parlimen Setiawangsa kepada The Malaysian Insight. 

Beliau bagaimanapun tidak menyebut siapa yang mengundang Anwar untuk menjadi sebahagian daripada langkah berkenaan. 

Awal minggu ini Anwar mengakui mengadakan rundingan dengan beberapa pemimpin Umno. Pada masa yang sama, kumpulan pemimpin kanan Umno juga menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan Anwar dan PKR. 

Setahun lalu, pemimpin kanan Bersatu bersama dengan Mohamed Azmin Ali yang keluar PKR, bekerjasama dengan Umno dan PAS dalam apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton untuk menjatuhkan kerajaan PH dan menggantikannya dengan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin. 

Anwar Ibrahim akui adakan rundingan dengan pemimpin Umno dan pada masa yang sama, kumpulan pemimpin kanan Umno menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Anwar dan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2021.

Ketika itu, kerajaan PH diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan rancangan pengganti perdama menteri diserahkan kepada Anwar pada akhir tahun. 

Dr Mahathir berkata beliau tidak setuju dengan kerajaan PN dan meninggalkan Bersatu untuk menubuhkan partinya Pejuang yang kekal dalam kem pembangkang bersama empat ahli Parlimen. 

Rancangan peralihan kuasa tidak berkesan

Bercakap mengenai perjanjian peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar apabila PH mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, Nik Nazmi berkata ianya hanya untuk mengaburi mata kerana bekas perdana menteri itu hanya berminat untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri. 

Nik Nazmi berkata dalam usaha untuk memperkukuhkan kedudukannya, Dr Mahathir mengundang wakil rakyat Umno untk beralih sokongan kepada Bersatu walaupun PH mempunyai majoriti untuk menjadi kerajaan. 

“Perjanjian dua tahun mengenai Anwar menjadi perdana menteri adalah untuk mengaburi mata kerana Dr Mahathir menarik ahli Parlimen Umno untuk memperkukuhkan kedudukannya, walaupun ketika kita memiliki jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Tidak perlu (untuk meminta anggota Parlimen beralih sokongan) pada ketika itu kerana kami menang dan mempunyai majoriti cukup di Parlimen, dan kami boleh membentuk kerajaan.

“Orang-orang mula bercakap-cakap ketika ahli Parlimen Umno melompat, bertanyakan apakah Dr Mahathir mengingkari perjanjian dengan Anwar. Jelas, jika dilihat di belakang, memang begitu,” katanya.

Ketika ditanya apakah PKR akan lebih baik bekerjasama dengan Umno atau Pejuang, Nik Nazmi mengatakan kedua-dua parti mempunyai ideologi yang sama.

“Dari segi ideologi, Pejuang dan Umno tidak banyak beza,” katanya.

Nik Nazmi juga berkata Dr Mahathir terus kritis terhadap Anwar. 

Akhir tahun lalu, Dr Mahathir berkata Anwar tidak cukup layak untuk menjadi perdana menteri. – 20 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen