Anwar tidak boleh jadi PM kalau ada krisis ekonomi, kata Dr Mahathir


Kamles Kumar Noor Azam Shairi

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Anwar Ibrahim suka menurut saranan Bank Dunia ketika krisis kewangan pada 1997/98.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

ANWAR Ibrahim tidak boleh jadi perdana menteri yang baik untuk Malaysia sekiranya ada krisis kewangan kerana beliau tidak boleh mengemudi negara keluar dari masalah itu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Anwar pernah diuji pada waktu krisis seperti itu pada 1997, semasa memangku jawatan perdana menteri ketika beliau bercuti dua bulan, kata bekas perdana menteri.

“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi perdana menteri. Saya telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.

“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik,” kata Dr Mahathir, dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan.”

Anwar pada masa itu memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Krisis ekonomi Asia Tenggara bermula pada awal Julai apabila mata wang Thailand jatuh teruk sehingga kesannya menampar mata wang dan bursa saham negara lain di rantau ini termasuk Malaysia.

“Pada waktu kita menghadapi krisis kewangan, cadangannya tidak boleh memulihkan ekonomi kewangan negara. Dia suka menurut apa yang disarankan oleh Bank Dunia, oleh IMF,” kata Dr Mahathir.

Antara cadangan Anwar pada masa itu ialah mengurangkan perbelanjaan awam dan menaikkan kadar faedah, seperti yang saranan agensi dunia.

“Saya pernah berkata kepadanya kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak akan ada dana yang cukup untuk membayar gaji, tetapi dia masih terus dengan pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia.

“Sebab itu saya terpaksa ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan merancangkan pendekatan untuk memulih semula negara kita,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir yang menyalahkan krisis kewangan itu pada penyangak mata wang kemudian menambat nilai ringgit pada RM3.80 berbanding dolar Amerika. Nilai itu hanya diapungkan pada Julai 2005.

Langkah Malaysia itu diperakukan oleh dunia apabila menjadi antara negara yang cepat pulih daripada krisis kewangan tersebut berbanding negara lain, misalnya Filipina dan Indonesia.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Anwar Ibrahim gagal dalam menangani krisis kewangan pada 1997/98. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 November, 2020.

“Saya tak terlibat”

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Anwar ada sokongan cukup untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional, Dr Mahathir berkata beliau tidak terlibat.

“Walaupun Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan, saya dan beberapa orang lagi sanggup bekerja dengan Pakatan Harapan untuk mengembalikan kerajaan pilihan rakyat.

“Kita boleh dapat majoriti tetapi kita dapati bahawa Anwar menolak kerjasama dengan kita, dengan saya terutamanya.

“Kalau menolak saya, saya tidak boleh (dapatkan) lebih ramai untuk menyokong Pakatan Harapan supaya kita boleh dapat jumlah yang mencukupi, sebab itu kita tidak jadi kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata ada juga dalam kalangan penyokongnya termasuk anggota Dewan Rakyat yang tidak akan menyokong Anwar kalaupun beliau setuju untuk presiden PKR itu jadi perdana menteri.

“Saya khuatir kalau kita janji untuk dia jadi perdana menteri ramai juga pengikut saya tidak akan sokong.

“Kalau tak sokong, kita tidak akan dapat jumlah bilangan yang cukup,” katanya.

Anwar yang juga ketua pembangkang pada 13 Oktober lalu menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mempunyai sokongan “yang kukuh dan menyakinkan” untuk menggantikan kerajaan Muhyiddin.

Dr Mahathir juga menjelaskan bukan hak beliau untuk menentukan Anwar jadi perdana menteri atau tidak.

“Kalau orang nak dia, mereka boleh beri sokongan. Dia pun biasa bercakap macam mana dia mempunyai sokongan yang begitu besar tetapi sebenarnya tidak. 

“Jadi hari ini dia belum jadi perdana menteri walaupun berkali-kali dia beritahu dia akan jadi perdana menteri.

“Ada yang bersiap nak angkat sumpah pun tetapi tidak jadi. Orang khuatir sama ada dia terima atau pun tidak kebenaran,” katanya.– 14 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen