Pilihan raya dan ketagih kuasa


Haris Hauzah

SEWAKTU dunia sedang tunggang-langgang mengurus pandemik pada awal 2020 dahulu, negara kita memilih untuk lebih sibukkan situasi dan keadaan politik yang rabak. 

Maka marak dan merebaklah kisah yang kononnya politik dalam negara kita parah. Tiada apa yang dapat menyelamatkan kerana ia sudah pun mulai merekah. 

Cerita-cerita tentang kegawatan kuasa politik ketuanan Melayu dan kepincangan kedudukan Islam yang terhakis digugat dek kuasa politik kecinaan dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pun diarusperdanakan.

Sepertimana selalu, tidak sedikit orang Melayu Islam yang termakan dengan hasutan konon Cina dalam kerajaan Pakatan Harapan itu bahaya dan jahat.

Keberantakan politik agama dan ras yang bergulir dalam Pakatan Harapan makin berat. Kerajaan yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 itu mulai kian terdesak. Kekukuhan mereka sebagai kerajaan juga turut meretak. 

Agenda kononnya pilihan raya kecil yang berlaku pada sepanjang Pakatan Harapan menjadi kerajaan adalah berpunca dari ketidakpuasan hati kelompok Melayu Islam yang mahu kuasa politik ketuanan Melayu itu dikembalikan. Kononnya dengan cara itu saja Islam dapat dilestarikan.

Hinggalah pada kemuncak ketidaktentuan politik yang tiap hari digasak akhirnya mulai goyah. Ketidaktentuan politik itu pun akhirnya dibelah oleh geng gerakan Sheraton tanpa sedikit pun rasa bersalah. 

Mereka tidak langsung menunjukkan rasa malu kerana nekad dan sepakat mencincang demokrasi lalu membahagi-bahagikan kekuasaan sesama sendiri. 

Keserakahan kuasa politik itu dibahagi-bahagi menurut kuasa politik mana yang lebih besar, mengikut kuasa politik mana yang paling berpengaruh dan berdasar pada individu mana yang lebih banyak memainkan peranan.

Kestabilan politik apakah yang sebetulnya mereka dongengkan? Hingga segala apa yang mereka campak ke dalam raga politik negara ini kelihatan begitu berat dengan politik jahanam yang busuk penuh kekacauan, gangguan dan kecelakaan. 

Ya, kalian harus tahu. Kerajaan hari ini yang sedap menjual modal Keluarga Malaysia dalam pentadbiran mereka itu mendapatkan kuasa hasil dari permainan bangsat politik agama dan perkauman. 

Cuba ingat kembali sewaktu wujudnya bujukan besar-besaran agar umat Melayu melakukan pemulauan terhadap barang-barang jualan bukan Islam. Isu pengiktirafan sijil UEC dan hal tulisan jawi yang sengaja diperbesar-besarkan. Semacam kedua-duanya adalah ajaran menyembah setan. Biarpun ia terisi lebih banyak kebaikan untuk pendidikan rakyat, ia tetap dimangsakan.

Sensasi politik sebegini malah jadi tonik kepada kebanyakan Melayu Islam yang tidak mahu menyelidik keadaan. Kesensasian politik itu mula jadi muntah yang memberikan kekuatan. Sebagaimana kuat dan gagahnya Badang tiap hari melantak muntah.

Kerajaan Abah yang sebelum ini kononnya untuk menyelamatkan ketuanan kuasa politik Melayu Islam itu pun turut gagal membawa apa-apa kestabilan. Hanya ada lebih banyak “scheme of things” dan siri darurat yang sampai sekarang pun tidak dijawab dengan jawapan yang wajar.

Boleh jadi ada mitos pada perkataan kestabilan politik yang orang-orang politik ini jual kepada rakyat. Percayalah bahawa harga yang kita bayar untuk mitos-mitos kestabilan politik mereka itu teramatlah mahal. 

Bayangkan saja pada saat jumlah jangkitan kes baharu Covid-19 kian melonjak hingga ke angka 22,802 kes setakat 12 Februari 2022, rakyat tetap dituntut keluar mengundi demi memenuhi kehendak kumpulan politik itu untuk mendapatkan majoriti kuasa yang lebih besar.

Dogma pilihan raya yang selama ini ditanam ke benak rakyat, bahawa ia adalah hak dan suara rakyat, boleh diragui dan makin sukar untuk sepenuhnya kita letakkan kepercayaan. 

Mana tidaknya, kalau apa saja yang mengatasnamakan kestabilan politik itu penuh dengan kepura-puraan, kemunafikan, pembohongan, gila kuasa, gila harta, gila pangkat dan gila jawatan. 

Kestabilan politik yang mereka mahu dapatkan hanyalah aksi-aksi dahsyat mereka menunggang hak dan suara rakyat dengan bermacam-macam tipu helah dan percaturan. 

Kalau demokrasi yang suci dan murni itu saja boleh mereka langgar dan robohkan dengan pengkhianatan, inikan pula menyalah guna satu dua slogan dan macam-macam perkataan. 

Itu semua pasti akan mereka lakukan demi kekuasaan politik yang lebih besar. Nah, itulah sebenarnya kestabilan politik yang mereka ini maksudkan – iaitu kemahuan mereka terhadap kekuasaan dengan majoriti besar-besaran.

Tidaklah aneh seandainya ada kelompok Melayu yang masih menerima dan memberikan mereka ini sokongan. Ini kerana sememangnya ada kelompok Melayu yang memilih untuk diperbodohkan.

Selain ada yang tergamak menyambut para perompak wang rakyat dengan cara mencium tangan, kita juga tahu di banyak kawasan yang berlangsungnya pilihan raya, ada calon yang membeli pengundi dengan belanja minyak motor dan bagi duit makan. Ada juga calon yang menunjukkan keupayaan membuat jualan ayam dengan harga murah. Tapi lepas jadi kerajaan segala harga yang naik mereka minta rakyat pasrahkan saja ketentuan.

Negara ini kecil – sudahlah kecil, majoriti rakyatnya pula masih ramai yang hidup bawah paras kemiskinan. Jangan terkejut kalau yang hidup cukup-cukup makan tanpa ada tabungan itu adalah orang Melayu yang kononnya mahu mereka ini perjuangkan.

Akibat hal-hal inilah maka negara ini terpalit dengan sumpahan. Kita tidak akan dapat keluar dari sumpahan ini seandainya dalam setiap pilihan raya kita rela diperbangang dan diperbodohkan.

Wacana kestabilan politik negara kita sebetulnya hanyalah berkenaan kisah pertelingkahan antara orang dungu dengan orang bodoh yang berebut-rebut mahu kuasa dan jawatan. 

Semua itu akan mereka dapat setelah berhasil menjadi kerajaan. Oleh kerana itulah pilihan raya sangat mereka perlukan. 

Bukan kerana ketiadaan kestabilan politik sebagaimana apa yang mereka hebohkan. Tapi sebab ketagihkan kuasa majoriti yang terpaling besar-besaran. – 13 Februari, 2022.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen