Adam Adli berdepan cabaran rebut jawatan ketua Pemuda PKR


Noel Achariam

bekas aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim sedar beliau berhadapan tugas mencabar apabila bertembung dengan Fahmi Zainol untuk merebut jawatan ketua Pemuda PKR, berkata peluang untuk menang dalam 50 peratus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 April, 2022.

BEKAS aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim sedar yang beliau berdepan tugas mencabar apabila bertembung dengan Fahmi Zainol untuk jawatan ketua Pemuda PKR.

Fahmi terkenal dalam kalangan akar umbi parti malah beliau sudah lama bersama parti itu sedangkan Adam baru sahaja menyertai PKR.

Adam, yang sendiri meletakkan peluang 50 peratus, menggelar pertembungan tersebut sebagai persaingan sihat.

“Kami kenal baik antara satu sama lain dan sudah berkawan lama.

“Saya tidak mahu nafikan dalam pertarungan ini beliau mungkin ada kelebihan kerana beliau penyandang dan bekas exco PKR,” katanya dalam wawancara Insight Talks.

“Saya mungkin ada beberapa kekurangan, tetapi akan kekalkan fokus saya untuk bawa perubahan dan idea baharu.

“Dalam politik, penyandang biasanya ada kelebihan, tetapi semuanya bergantung kepada pelbagai situasi. Kadang-kadang penyandang juga ada kelemahannya.

“Tetapi, macam mana pun, kami serah kepada ahli PKR untuk nilai siapa yang mereka mahu pilih.”

Pada 30 Mac, Adam mengumumkan beliau akan bertanding jawatan tersebut menentang rakannya bekas aktivis mahasiswa Fahmi.

Beliau telah menyertai PKR pada 16 September tahun lalu, bersama 20 aktivis pemuda lain.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight sebelum ini, beliau berkata matlamatnya dalam politik adalah untuk memperjuangkan pendidikan tinggi percuma untuk semua rakyat Malaysia.

Adam, 32, sudah berdepan pelbagai masalah dengan undang-undang kerana bercakap mengenai isu yang melibatkan mahasiswa dan rakyat biasa.

Terbaharu, pada Januari, beliau disoal siasat oleh polis atas penglibatannya dalam protes #TangkapAzamBaki.

Mengenai apa yang dijangka dilakukannya jika dipilih sebagai ketua Pemuda PKR, Adam berkata beliau akan beri tumpuan kepada perpaduan ketika parti itu membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Tujuannya adalah untuk menyatukan ahli yang terjejas susulan Langkah Sheraton.

“Saya percaya kepada perpaduan dalam parti dan ini antara perkara yang perlu diberi tumpuan. Kita perlu kumpulkan ahli lama dan baru sekali lagi untuk kukuhkan parti seperti sebelum ini.”

Mengenai pemilihan parti, beliau berkata ia dijalankan secara hibrid di mana ahli akan mengundi secara dalam talian dan di pusat.

“Pengundian dalam talian ditutup hari ini. Dianggarkan 300,000 ahli yang mengundi dalam talian, manakala kami mempunyai lebih 1 juta ahli di seluruh negara yang akan membuang undi untuk pemilihan parti.

“Setiap orang diberi peluang untuk memilih pemimpin mereka.” – 23 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen