Pendakwah Syakir Nasoha tidak didakwa, aktivis kesal keputusan peguam negara


Ravin Palanisamy

Siasatan mendapati kandungan video ceramah asal pendakwah Syakir Nasoha tidak mengandungi kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama di Malaysia. – Gambar YouTube, 14 Julai, 2022.

PEJABAT Peguam Negara tidak akan mendakwa pendakwah Syakir Nasoha yang mencetuskan kontroversi kerana rakaman ceramah agamanya yang dikatakan melecehkan orang bukan Islam hujung tahun lalu.

Keputusan itu dimaklumkan Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam sepucuk surat kepada sebuah pertubuhan masyarakat yang melancarkan kempen membuat laporan polis terhadap Syakir.

Dalam surat bertarikh 17 Jun, 2022 itu, polis memberitahu arahan Pejabat Peguam Negara kepada mereka untuk tidak melanjutkan perkara itu. Mereka dimaklumkan isu berkenaan difahami di luar konteks dan rakaman video berkenaan tidak menyentuh sensitiviti agama di negara ini.

“Siasatan polis terhadap aduan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 13 Disember, 2021 dan kes itu diarahkan NFA (tiada tindakan lanjut) kerana kandungan video tersebut disunting daripada ceramah asal sepanjang 1 jam 29 minit dan 34 saat, yang dibuat oleh orang berkenaan pada 2017 di Masjid Abu Bakar, Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah.

“Melihat keseluruhan konteks, kandungan video ceramah asal tidak mengandungi sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama di Malaysia,” kata ketua penolong oengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang JSJ Bukit Aman yang menandatangani surat.

Surat ditujukan kepada Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global S. Shashi Kumar.

Surat itu juga menyebut polis menerima keseluruhan 178 laporan berhubung isu sama.

Syakir disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan atas kesalahan mengapi-apikan antara kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan telekomunikasi.

Pada 3 Oktober tahun lalu, kira-kira 3,000 laporan polis dibuat terhadap terhadapnya selepas rakaman video ceramah yang tular didakwa menimbulkan kebencian kepada orang bukan Islam.

Dalam video seminit yang tular di media sosial sejak Jumaat, Syakir memetik hadis yang beliau terjemahkan berbunyi: “akhir zaman nanti, musuh-musuh Islam akan mengerumuni kamu sebagaimana orang mengerumuni talam yang penuh dengan makanan, berebut hendak makan.”

“Begitu juga, hari ini orang kafir berebut nak bunuh umat Islam,” katanya.

Beliau juga mendakwa umat Islam di Thailand dan India masing-masing dibunuh oleh penganut Buddha dan Hindu, yang katanya juga ada di negara ini.

Syakir juga membuat kenyataan yang menyinggung masyarakat Dayak apabila mendakwa mereka merogol dan menyembelih umat Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.

Syakir kemudian menjelaskan kandungan ceramahnya sudah disalah faham dan diambil di luar konteks sementara ceramahnya khusus untuk umat Islam.

Bagaimanapun beberapa rakaman video lain kemudian muncul dan laporan polis yang lain juga dibuat terhadapnya.

Aktivis kesal

Sementara itu, Shashi kecewa dengan keputusan Pejabat Peguam Negara tidak mendakwa Syakir. Beliau menyifatkannya berat sebelah terutama kepada orang bukan Islam.

Shashi membandingkan kes Syakir dengan pertuduhan terhadap Siti Nuramira Abdullah dan pasangannya Alexander Navin Vijayachandran di mahkamah semalam kerana insiden yang didakwa menghina agama Islam.

“Kenapa pihak berkuasa berat sebelah?

“Seorang wanita dikatakan menghina Islam apabila membuka tudung dan menanggalkan baju kurungnya semasa persembahan komedi. Dia ditahan serta merta dan beberapa hari selepas itu Pejabat Peguam Negara mengarahkan didakwa.

“Ini tidak berlaku dalam kes Syakir biarpun dia buat banyak kenyataan sensitif terhadap orang bukan Islam,” kata Shashi kepada The Malaysian Insight.

Shashi juga mendakwa hanya dimaklumkan perkembangan kes Syakir selepas menulis surat kepada pihak berkuasa.

Beliau mengaku terkejut apabila siasatan polis terhadap Syakir mendapati tiada ucapan yang menyentuh sensitiviti agama.

“Pihak berkuasa kata mereka tonton penuh video hampir satu jam 30 minit dan tidak nampak apa-apa salah, dan menyifatkan kes tiada tindakan lanjut.

“Dia Hindu ajaran sesat, tidak sensitif? Dia kata pembunuhan orang Islam di India dan Thailand dilakukan oleh penganut Hindu dan Buddha, tidak sensitif?

“Dia juga kata orang Dayak merogol dan menyembelih umat Islam di Indonesia dan Papua New Guinea, tidak sensitif?

“Panjang atau pendek, dia sebut semua itu yang sebenarnya sensitif tetapi pihak berkuasa memutuskan tidak sensitif,” katanya.

Shashi juga mendakwa penceramah kontroversi seperti Syakir seolah-olah dibenarkan berbuat apa saja di negara ini.

Beliau menyebut keputusan sama sebelum ini melibatkan pendakwah bebas Zamri Vinod dan Firdaus Wong. – 14 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen