SEORANG pemimpin masyarakat sivil mendakwa pihak berkuasa mengamalkan pilih kasih apabila menahan penulis Uthaya Sankar S.B susulan komennya berkaitan poligami melibatkan Nabi Muhammad.
Mereka mendakwa pihak berkuasa tidak bertindak serupa terhadap pendakwah kontroversi Syakir Nasoha yang membuat komen menghina orang bukan Islam.
Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S.Shashi Kumar berkata polis segera menangkap Uthaya walaupun beribu-ribu laporan dibuat terhadap Syakir, tiada tindakan diambil terhadapnya.
“Mereka (polis) mengamalkan pilih kasih.
“Apa yang dilakukan Uthaya itu tidak betul tetapi pada masa sama kita tidak nampak (tindakan pantas) itu apabila pendakwah Islam seperti Syakir menghina kaum dan agama lain,” kata Shashi kepada The Malaysian Insight.
Sudah lebih enam bulan sejak lebih 3,000 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap pendakwah Islam itu selepas video menunjukkan dia membuat komen yang menghina agama lain dan masyarakat Dayak menjadi tular.
Dalam klip satu minit itu pendakwa itu kedengaran berkata bahawa “pada akhir zaman pengikut agama bukan Islam akan berebut-rebut membunuh orang Islam di dunia”.
Beliau mendakwa pembunuhan orang Islam di India dan Thailand dilakukan oleh penganut Hindu dan Buddha.
Beliau juga membuat kenyataan yang sama terhadap masyarakat Dayak yang mendakwa anggotanya membunuh dan merogol orang Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.
Syakir berkata ucapannya telah disalahertikan.
Bagaimanapun satu lagi laporan difailkan terhadap pendakwah itu selepas lebih banyak video dia membuat komen yang menghina muncul dalam talian.
Uthaya ditahan pada Isnin berikutan komen Facebook yang dibuatnya mengenai isu poligami membabitkan Nabi Muhammad.
Penulis berkenaan dipanggil polis berhubung komennya di Facebook pada 8 April terhadap laporan berita mengenai pelakon Iman Zulkarnain yang serik berpoligami.
Shashi berkata bahawa pihak berkuasa terus mengheret mereka dalam perkara ini walaupun GHRF dan kumpulan masyarakat sivil lain menyerahkan memorandum kepada polis di Bukit Aman pada Disember menggesa polis mendedahkan maklumat terkini siasatan mereka terhadap Syakir.
Beliau berkata juga tiada balasan terhadap e-mel susulannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
“Mereka (polis) sepatutnya menghubungi kami mengenai perkembangan siasatan terhadap Syakir Nasoha dalam tempoh seminggu selepas memorandum tetapi tidak ada apa-apa.
“Saya sekali lagi menghantar e-mel kepada pasukan USJT kira-kira seminggu dua selepas menyerahkan memorandum tetapi tiada jawapan sehingga hari ini.
“Ini walaupun kami menyediakan bukti video penuh,” katanya.
Pada Disember gabungan 62 kumpulan masyarakat sivil berbilang kaum menggesa polis mendedahkan maklumat terkini mengenai siasatan mereka terhadap Syakir kerana didakwa menghina orang bukan Islam dalam beberapa video.
Gabungan itu juga termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Shashi berkata alasan Syakir yang mendakwa videonya hanya ditujukan untuk orang Islam adalah tidak boleh diterima.
“Syakir dalam maklum balas berkata ini hanya ditujukan untuk umat Islam tetapi video itu menjadi tular.
“Dan dalam video itu dia pasti telah menghina orang bukan Islam di negara ini. Dia berdakwah kebencian dan ini akan menyebabkan ketidakharmonian.
Shashi berkata selain Syakir, pendakwah seperti Firdaus Wong Wai Hung, Zamri Vinoth Kalimithu antara lain turut mengambil kesempatan dan terus menghina orang bukan Islam kerana mengetahui polis tidak akan menahan mereka.
“Jadi pendakwah ini akan terus menyerang agama lain kerana mereka tahun tidak akan ditangkap.
“Adakah polis berpihak dan melindungi pendakwah Islam yang menghina orang lain?,” soal Shashi.
Hari ini Shashi berkata GHRF dan 62 lagi kumpulan masyarakat sivil berbilang kaum akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Shashi berkata memorandum itu adalah berkaitan pendakwah Islam yang menghina dan memburukkan kepercayaan bukan Islam menyebabkan ketidakharmonian kaum serta kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata mereka menggunakan semua kaedah untuk mendapatkan keadilan dan kini sedang mendapatkan bantuan istana. – 13 April, 2022.
Komen