Penulis Uthaya Sankar ditahan di Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

PENULIS Uthaya Sankar SB ditahan di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur dipercayai berhubung satu komennya di Facebook mengenai isu poligami yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad.

Pagi tadi, Uthaya dibawa ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.

“Awak ditangkap. Telefon rampas,” maklum Uthaya melalui Facebooknya, memetik seorang yang bernama “Zainol” dipercayai pegawai polis yang menahannya.

The Malaysian Insight sedang menghubungi pihak polis di Bukit Aman untuk maklumat lanjut.

Terdahulu, ketika dihubungi The Malaysian Insight, Uthaya memaklumkan sedang dirakam keterangan.

“Saya sedang beri keterangan sekarang kepada Ins (Inspektor) Safawati di Bukit Aman,” katanya dalam satu mesej kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight difahamkan beliau sebelum itu dibawa ke Balai Polis Sri Muda, Shah Alam berhubung satu laporan yang dibuat di Bukit Aman.

Di Facebooknya 11 pagi tadi, Uthaya memaklumkan beliau dibawa ke Bukit Aman berhubung komennya di Facebook pada 8 April terhadap laporan berita mengenai pelakon Iman Zulkarnain yang serik berpoligami.

“Sedang dibawa ke Bukit Aman. Kerana paparan ini. Mungkin ditahan, mungkin ikat jamin. Ada peguam boleh datang?” tulisnya.

Dalam komennya itu Uthaya mengaitkan amalan poligami dengan Nabi Muhammad. – 11 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen