SUDAH lebih sebulan sejak ribuan laporan polis dibuat terhadap pendakwah Syakir Nasoha kerana membuat komen memperlekehkan orang bukan Islam namun tiada tindakan daripada polis setakat ini, kata aktivis S. Shashi Kumar.
Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global berkata kelewatan menahan pendakwah kontroversi itu menunjukkan sikap pilih kasih yang jelas oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata demonstrasi secara aman akan diadakan di Bukit Aman pada 8 Disemberi ini sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah itu.
Beliau menambah keadaan akan berbeza jika perkara itu ditangani sebaliknya.
“Ini adalah jelas pilih kasih. Jika seorang bukan Islam membuat kenyataan sedemikian terhadap orang Islam, maka tindakan pantas akan diambil, dalam masa 24 jam seseorang itu boleh ditangkap.
“Adakah polis takut untuk menangkap Syakir kerana beliau seorang ustaz? Nampaknya begitulah bagi kebanyakan kami,” kata Shashi kepada The Malaysian Insight.
Pada 3 Oktober, kira-kira 3,000 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Syakir, yang dilihat dalam video tular membuat komen menghina agama bukan Islam serta masyarakat Dayak.
Dalam video seminit yang tular di media sosial, Syakir berkata “akhir zaman, penganut bukan Islam akan berebut-rebut untuk membunuh umat Islam di dunia”.
Beliau juga mendakwa pembunuhan orang Islam di Thailand dan India dilakukan oleh penganut Buddha dan Hindu.
Dalam rakaman itu, Syakir didapati turut mengeluarkan kenyataan memburukkan masyarakat Dayak, mendakwa mereka merogol dan menyembelih orang Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.
Susulan laporan polis, Syakir berkata ucapannya disalah erti.
Bagaimanapun, pada 10 Oktober, satu lagi gelombang laporan baharu difailkan selepas lebih banyak video pendakwah itu membuat komen berunsur fitnah muncul dalam talian.
Shashi berkata orang bukan Islam sudah muak dengan serangan yang disengajakan terhadap mereka dan menggesa pendakwah itu ditangkap dan didakwa segera.
Beliau turut menggesa polis bertindak segera berhubung perkara itu kerana terdapat bukti kukuh terhadap Syakir.
“Jika mereka mahu berkata masih menyiasat, ini sama sekali tidak boleh diterima kerana sudah lebih 40 hari sejak laporan awal dibuat.
“Apabila kami membuat laporan polis, saya memberikan mereka video lengkap. Jadi, mereka tidak boleh berkata ia disunting atau diubah,” katanya.
Mengenai perkembangan terkini kes itu, Shashi berkata beliau dimaklumkan kes itu dipindahkan dari Kuantan ke Bukit Aman bulan lepas, dan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) polis.
Orang bukan Islam resah
Shashi berkata ketiadaan tindakan pihak berkuasa walaupun mempunyai bukti menyebabkan keresahan di kalangan masyarakat bukan Islam.
Dengan lebih 5,000 laporan polis dipercayai dibuat terhadap pendakwah itu, Shashi mendakwa penganut bukan Islam hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa.
“Saya percaya sehingga kini lebih 5,000 laporan polis sudah dibuat terhadap pendakwah itu. Namun, tiada tindakan. Apa lagi yang perlu dilakukan?
“Orang dari Sarawak menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat terkini tetapi saya tidak ada kerana polis tidak menahan pendakwah itu.
“Sebab itu sekarang anda lihat tidak ramai yang tampil membuat laporan kerana sudah muak. Mereka rasa tiada apa yang dilakukan dan membuang masa. Ini persepsi orang ramai,” katanya.
Shashi berkata mereka mahu polis menahan Syakir selewat-lewatnya pada 7 Disember, jika gagal, mereka akan mengadakan perhimpunan aman pada 8 Disember.
“Jika tiada tangkapan dibuat selewat-lewatnya pada 7 Disember, maka pada 8 Disember, kami akan turun untuk demonstrasi (aman) di Bukit Aman.
“Saya akan turun untuk menyerahkan memorandum bantahan. Ini untuk bertanya mengapa terdapat pilih kasih dalam penguatkuasaan.
“Ia tidak sepatutnya mengambil masa yang lama. Lelaki ini sudah membuat beberapa video dan masih bebas,” katanya.
Shashi mengingatkan polis supaya mengikut konsep Keluarga Malaysia Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam menjalankan tugas.
“Jika polis mengikut (konsep Keluarga Malaysia) PM Ismail Sabri, maka mereka perlu membuktikan mereka tidak menyebelahi sebelah pihak.
“Tangkap Syakir segera,” katanya. – 18 November, 2021.
Komen