PENDAKWAH Syakir Nasoha, yang petikan rakaman ceramahnya jadi kontroversi, menjelaskan beliau sudah disalah faham sehingga dilapor polis atas dakwa menghasut.
Katanya, rakaman seminit yang tular itu diambil di luar konteks sementara ceramahnya khusus untuk umat Islam.
“Bukanlah saya mengkritik agama lain, tetapi ini menjadi satu bentuk kepercayaan dalam agama kami.
“Ini hadis, ini kata-kata daripada Nabi kami. Sekiranya saya menolak bermakna saya menolak kata Nabi saya. Apabila saya menolak kata Nabi saya akan jadi kafir, akan terkeluar daripada Islam,” katanya dalam satu kenyataan melalui video yang dimuat naik ke YouTube hari ini.
Menurut Syakir, ceramah sebenarnya sejam setengah dan hanya untuk orang Islam, dirakam di sebuah masjid di Sungai Petani pada 2017.
Beliau juga tidak meminta ceramahnya dirakam, sebaliknya hanya menyampaikan ceramah di masjid “tempat orang Islam beribadat”.
“Apabila video itu diambil dan (disebar) kepada orang bukan Islam, mungkin perkara ini menimbulkan salah faham kepada orang Islam,” katanya.
Syakir menjelaskan hadis bukanlah sesuatu yang boleh difahami “dengan tengok satu video sahaja”, termasuk bagi kalangan orang Islam sendiri.
“Untuk orang Islam sendiri pun untuk belajar Islam ambil masa lama, mengaji sekolah tahfiz dan sebagainya kita belajar sampai beberapa tahun untuk kita memahami,” tambahnya.
Syakir membuat penjelasan selepas lebih 3,000 laporan polis dibuat terhadapnya atas dakwaan menimbulkan kebencian kepada orang bukan Islam.
Dalam video seminit yang tular di media sosial sejak Jumaat, Syakir memetik hadis yang beliau terjemahkan berbunyi: “Akhir zaman nanti, musuh-musuh Islam akan mengerumuni kamu sebagaimana orang mengerumuni talam yang penuh dengan makanan, berebut hendak makan.”
“Begitu juga, hari ini orang kafir berebut nak bunuh umat Islam,” katanya.
Beliau juga mendakwa umat Islam di Thailand dan India masing-masing dibunuh oleh penganut Buddha dan Hindu, yang katanya juga ada di negara ini.
Syakir juga membuat kenyataan yang menyinggung masyarakat Dayak apabila mendakwa mereka merogol dan menyembelih umat Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.
Dalam penjelasannya, Syakir juga berkata beliau tiada apa-apa masalah dengan orang bukan Islam malah biasa menggunakan perkhidmatan mereka apabila perlu, antaranya untuk membaiki rumah.
“Saya bukan racist (perkauman), bukan anti kepada agama Buddha, Hindu dan sebagainya. Kalau saya anti kenapa saya panggil mereka untuk tolong buat itu dan sebagainya.
“Islam tidak menghalang kita untuk berurusan dalam urusan dunia, dalam kerja seharian dalam perkara yang tidak bercanggah dengan hukum hakam. Itu urusan dunia.
“Adapun dalam urusan agama, agama kami memberi dinding atau sekatan. Ada perkara boleh dan ada perkara yang tidak boleh,” katanya. – 5 Oktober, 2021.
Komen