NGO desak polis tangkap Ustaz Syakir Nasoha


Ravin Palanisamy

Pendakwa Syakir Nasoha dalam satu video pada 5 Oktober lalu nafi beliau hina agama lain dan petikan rakaman ceramahnya yang khusus untuk umat Islam itu diambil di luar konteks. – Tangkap layar, 15 Disember, 2021.

SATU memorandum yang ditandatangani hampir 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diserah ke Bukit Aman bagi mendesak polis segera menangkap pendakwah Syakir Nasoha atas dakwaan menghina orang bukan Islam.

Presiden Global Human Rights Federation (GHRF) Shashi Kumar memaklumkan kepada The Malaysian Insight, mereka mempersoalkan mengapa masih belum ada sebarang tindakan diambil berbulan selepas laporan polis dibuat terhadap pendakwah terbabit.

“Satu memorandum akan diserah kepada Bukit Aman berhubung Syakir Nasoha yang menghina dan memfitnah orang bukan Islam, termasuk masyarakat Dayak.

“Beliau berkata penganut agama lain berbahaya dan satu ancaman kepada Islam dan orang Muslim di Malaysia serta seluruh dunia.

“Sudah lebih 70 hari (sejak laporan dibuat) tetapi sampai sekatang polis masih belum ambil tindakan,” kata Sashi.

Tambahnya, mereka mulanya merancang berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum kepada polis di Bukit Aman pada 8 Disember lalu tetapi tarikhnya dianjakkan ke hari ini.

Perhimpunan itu juga kecil kerana kebanyakan NGO yang menandatangani memorandum berkenaan hanya akan menghantar wakil, katanya.

Pada 3 Oktober lalu, kira-kira 3,000 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Syakir Nasoha berhubung satu video tular yang memperlekehkan agama bukan Islam dan masyarakat Dayak.

Dalam video seminit itu, Syakir memetik hadis yang beliau terjemahkan berbunyi: “Akhir zaman nanti, musuh-musuh Islam akan mengerumuni kamu sebagaimana orang mengerumuni talam yang penuh dengan makanan, berebut hendak makan. Begitu juga, hari ini orang kafir berebut nak bunuh umat Islam.”

Beliau juga mendakwa umat Islam di Thailand dan India masing-masing dibunuh oleh penganut Buddha dan Hindu, yang katanya juga ada di negara ini.

Syakir juga membuat kenyataan yang menyinggung masyarakat Dayak apabila mendakwa mereka merogol dan menyembelih umat Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.

Dua hari selepas laporan polis dibuat, Syakir dalam satu video yang dimuat naik ke YouTube berkata petikan rakaman ceramahnya diambil di luar konteks, dan ceramahnya itu khusus untuk umat Islam. 

Menurut Syakir, ceramah sebenarnya sejam setengah dan hanya untuk orang Islam, dirakam di sebuah masjid di Sungai Petani pada 2017.

Beliau juga tidak meminta ceramahnya dirakam, sebaliknya hanya menyampaikan ceramah di masjid “tempat orang Islam beribadat”.

“Bukanlah saya mengkritik agama lain, tetapi ini menjadi satu bentuk kepercayaan dalam agama kami.

“Ini hadis, ini kata-kata daripada Nabi kami. Sekiranya saya menolak bermakna saya menolak kata Nabi saya. Apabila saya menolak kata Nabi saya akan jadi kafir, akan terkeluar daripada Islam.

“Apabila video itu diambil dan (disebar) kepada orang bukan Islam, mungkin perkara ini menimbulkan salah faham kepada orang Islam,” katanya. – 15 Disember, 2021.  

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen