Siti Nuramira mengaku tidak bersalah hina Islam


Kalidevi Mogan Kumarappa

Siti Nuramira Abdullah mengaku tidak bersalah hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghina Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Julai, 2022.

SITI Nuramira Abdullah, wanita yang mengaku hafal Al-Quran sebelum membuka tudung semasa membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghina Islam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Siti Nuramira, 26, yang dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali. 

Dia dihadapkan ke mahkamah selepas perintah reman ke atasnya berakhir hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Siti Nuramira yang mengaku beragama Islam dan hafal 15 juzuk Al-Quran membuka tudung dan menanggalkan baju kurung semasa membuat persembahan, dan dengan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 Jun lalu, sekitar jam 6 petang bertempat di Restoran Crack House Comedy Club, Tingkat 1, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail di sini.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.

Mahkamah juga menetapkan tertuduh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields setiap bulan sebelum atau pada 15 haribulan. Dia juga dilarang daripada memuat naik ke mana-mana platform media sosial sebarang kenyataan berhubung prosiding mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula 18 Ogos ini.

Siti Nuramira diwakili tiga peguam iaitu Shaharudin Ali, R Sivaraj and Ramesh Chandran manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Najihah Farhana Che Awang.

Alexander Navin Vijayachandran didakwa di Mahkamah Petaling Jaya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 k – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2022.

Sementara itu, pasangannya Alexander Navin Vijayachandran didakwa di mahkamah berasingan di Petaling Jaya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan telekomunikasi.

Dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Dia boleh dihukum maksimum penjara setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Penulis bebas itu, 38, didakwa berkongsi hantaran di akaun Instagram miliknya pada 5 Jun lalu dengan niat untuk menghina orang lain.

Pertuduhan kedua berkata dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Dia didakwa memuat naik kedua-dua kandungan di sebuah kondominium di Damansara Perdana.

Hakim Azrul Darus yang mengetuai kes itu menetapkan ikat jamin RM20,000 dan 1 September untuk sebutan kes.

Siti Nuramira dan pasangannya sebelum ini disiasat berhubung satu rakaman video tidak sampai seminit yang tular di media sosial, yang menimbulkan kegemparan umum.

Susulan rakaman yang tular dan laporan polis berkaitannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kelab komedi berkenaan ditutup sementara sejak 10 Julai.

Crackhouse Comedy Club dan sekumpulan pelawak bagaimanapun menyifatkan tindakan itu tidak wajar kerana mereka dihukum sama. Mereka mendakwa wanita itu dan pasangannya sengaja mensabotaj kelab komedi itu. – 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen