Harga rumah dijangka naik akhir tahun, kata laporan


Bekas pengerusi Rehda Tan Hun Beng dipetik The Star sebagai berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran harga bahan binaan yang semakin tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2022.

HARGA rumah dijangka meningkat antara 5% hingga 20%, menurut laporan The Star.

Laporan memetik bekas pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Tan Hun Beng sebagai berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran harga bahan binaan yang semakin tinggi.

Harga konkrit naik sebanyak 32% kepada RM258 per meter padu, manakal harga bar keluli meningkat 46% kepada RM4,100 setan.

Malah, harga bumbung logam dan besi c purlin juga masing-masing naik sebanyak 60% dan 90%, kata laporan itu.

“Kenaikan mendadak kos bahan binaan akan memberi kesan kepada harga jualan bekalan sekurang-kurangnya 5 hingga 20%, bergantung pada saiz dan lokasi.

“Kenaikan ini tidak dapat dielakkan kerana pemaju sudah mengeluarkan kos yang banyak untuk membeli bahan binaan,” katanya dipetik The Star.

Tambahnya, kos pembinaan yang tinggi juga akan menyebabkan pelancaran hartanah pada tahun ini berkurang.

Menurut laporan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kira-kira 54,836 unit kediaman baharu akan memasuki pasaran hartanah Pulau Pinang dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. 

Berdasarkan laporan NAPIC itu, kira-kira 79% kediaman adalah kategori rumah mampu milik dan mewah, dengan harga bermula dari RM300,000.

Tan seterusnya berkata, laporan NAPIC juga menyebut sebanyak 11,540 unit rumah di Pulau Pinang yang tidak terjual adalah rumah siap, masih dalam pembinaan dan belum dibina.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo pada sidang Dewan Undangan Negeri November tahun lalu memaklumkan sebanyak 4,683 unit rumah bernilai kira-kira RM3.66 bilion yang sudah siap dibina namun masih belum terjual di negeri itu. – 20 Jun, 2022.     



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen