Cukai urus niaga akan jejas sektor hartanah, kata persatuan


Raevathi Supramaniam

Rehda menyarankan supaya kerajaan melihat secara menyeluruh sebelum mengenakan apa-apa cukai kerana ia juga akan memberi kesan kepada industri lain yang bersangkut paut dengan sektor hartanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

MENGENAKAN cukai urus niaga baharu ke atas penjual dan pembeli hartanah akan meningkatkan pendapatan negara namun ia bukan satu langkah terbaik, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presidennya Soam Heng Choon mengulas cadangan supaya kerajaan mengenakan cukai urus niaga 2%, di mana 1% dikenakan kepada pembeli manakala selebihnya ditanggung oleh pemaju hartanah.

“Cadangan ini bertujuan untuk membantu kerajaan menambah pendapatan. Namun, adakah masanya sesuai?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Heng Choon berkata harga semasa hartanah sudah cukup menekan pembeli dan kerajaan sepatutnya terlebih dahulu mencari jalan bagaimana untuk memulihkan ekonomi.

“Pulihkan ekonomi dan industri dulu. Jika cukai ini dikenakan ia akan menjejaskan 100 industri lain yang bersangkut paut dengan sektor hartanah.

“Lihat secara menyeluruh sebelum mengenakan apa-apa cukai kerana ia juga akan memberi kesan kepada industri lain,” jelasnya.

Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas pembelian hartanah baharu, tetapi pemilik perlu membayar duti setem yang nilainya bergantung kepada harga hartanah.

Bagaimanapun, pembeli rumah kali pertama kini dikecualikan daripada caj duti setem.

Selain cukai urus niaga, cadangan lain termasuklah mengenakan cukai keuntungan luar biasa kepada perniagaan yang memperoleh keuntungan tinggi semasa pandemik Covid-19.

Menurut Kementerian Kewangan kutipan cukai langsung bagi 2021 setakat Julai berjumlah RM67.4 bilion atau 56.2% daripada sasaran, manakala cukai tidak langsung mencatatkan kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59% daripada sasaran.

Kementerian itu dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang diterbitkan pada Ogos lalu berkata kerajaan sedang meneliti langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.

Antara cadangan yang digariskan termasuk pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), katanya.

Belanjawan 2022 akan dibentang di Parlimen pada 29 Oktober ini. – 22 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen