TEMPOH enam hingga 24 bulan diperlukan untuk pasaran hartanah pulih sepenuhnya daripada kesan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi menyekat penularan Covid-19, menurut kaji selidik dijalankan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Kaji Selidik Industri Hartanah bagi separuh pertama 2021 dijalankan dari 16 hingga 31 Ogos dan membabitkan 180 responden daripada sektor hartanah.
“Kira-kira 83% responden bersetuju pasaran akan pulih sepenuhnya dalam tempoh enam hingga 24 bulan,” kata Presiden Rehda Heng Choon Soam pada taklimat media secara zoom berkenaan hasil kaji selidik itu.
“Ada peningkatan optimisme untuk perniagaan itu dan ramalam ekonomi bagi industri hartanah dalam tempoh separuh pertama 2022.”
Kaji selidik itu juga mendapati hanya 36% responden merancang untuk melancarkan projek pada separuh kedua 2021 kerana separuh pertama tahun ini dianggap hilang akibat penguatkuasaan langkah sekatan pergerakan.
“Tiga sebab utama untuk tidak melancarkan projek pada 2021 ialah keadaan pasaran yang tidak menarik (40%), projek tertangguh dan kelulusan pihak berkuasa lambat (18%) dan jumlah stok tidak terjual yang tinggi (17%).
“Seramai 76% responden berkata projek mereka tertangguh sekurang-kurangnya 147 hari akibat PKP.
Dalam separuh pertama 2021, sebanyak 11,601 unit hartanah dilancarkan di mana 98% atau 11,422 adalah unit kediaman.
Daripada unit yang dilancarkan pada separuh pertama 2021, sebanyak 3,955 adalah unit pangsapuri atau kondominium diikuti 3,142 unit jenis teres dua atau tingkat dan 1,156 pangsapuri servis. Unit ini dijual pada harga antara RM250,001 dan RM500,000.
Daripada segi jualan, pada separuh pertama 2021, jualan menurun 39% berbanding separuh kedua 2020 yang merekodkan 45% jualan.
Di bawah kempen pemilikan rumah (HOC) yang bermula Mei 2020 hingga Mei 2021 dan dilanjutkan hingga 31 Disember, Rehda berkata 75,503 unit berjaya dijual menerusi program itu.
“Hingga 30 September, bagi tempoh 16 bulan, nilai hartanah yang dijual sebelum diskaun ialah RM56.96 bilion, sementara selepas diskaun ialah RM47.38 bilion.
“Ini menunjukkan pemaju memberikan purata diskaun 17%, lebih 10% yang ditetapkan kerajaan.
Daripada 75,503 unit yang dijual, 32% adalah pangsapuri servis sementara 29% lagi rumah teres dua tingkat.
“Jualan tertinggi direkodkan di Selangor bernilai RM21 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM11.6 bilion) dan Johor (RM5.4 bilion).”
Daripada aspek profil pembeli, 98% adalah penduduk tempatan dengan 47% pembeli rumah pertama. – 21 Oktober, 2021.
Komen