1.2 juta pekerja diperlukan untuk sektor pembinaan, kata pemain industri


Khoo Gek San

Kerajaan membekukan sementara pengambilan pekerja asing baharu kerana pandemik dan mengutamakan penduduk tempatan bagi peluang pekerjaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

SEKTOR pembinaan memerlukan kira-kira 1.2 juta pekerja untuk berfungsi seperti biasa selepas kehilangan banyak tenaga kerjanya, kata pemain industri.

Mereka berkata industri ini sudah mengalami kekurangan sejak sebelum pandemik Covid-19 tetapi situasinya semakin parah, apabila sebahagian besarnya disebabkan oleh peraturan dan syarat baharu susulan pandemik yang melanda seluruh dunia.

Mereka berkata bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja, industri beralih  Sistem Bina Berindustri (IBS), teknik yang melibatkan komponen pasang siap.

Kaedah baharu ini, kata mereka kepada The Malaysian Insight, dapat memenuhi sekurang-kurangnya 50% keperluan tenaga kerja pemaju, selain menjadi alternatif yang jauh lebih selamat.

“Pada 2020 sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP), kami mempunya kira-kira 430,000 pekerja sah. Menjelang Februari 2021, jumlahnya menurun kepada kira-kira 280,000 pekerja sah,” kata jurucakap Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM).

“Terdapat penurunan sekitar 35% dalam jumlah pekerja sah. Ini kerana kebanyakan mereka pulang ke negara asal kerana tamat tempoh permat kerja mereka.

“Tetapi sebenarnya, dalam keadaan normal, industri memerlukan sekitar 1.2 juta pekerja,” kata jurucakap itu.

MBAM berkata kekurangan tenaga kerja sudah berlaku sejak sebelum pandemik Covid-19 lagi.

Bagaimanapun, norma dan peraturan baharu menyebabkan tempoh yang diperlukan untuk mengambil pekerja asing bertambah.

“Sepanjang PKP 2.0 yang dilaksanakan pada Januari tahun ini, sebahagian besar projek pembinaan masih dilakukan dengan mematuhi semua persyaratan dan prosedur operasi standar (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Tiada kesan langsung bantuan terhadap kekurangan tenaga kerja di industri pembinaan. Industri ini masih kekurangan pekerja,” kata jurucakap MBAM.

Beliau berkata Malaysia masih banyak bergantung kepada bekalan tenaga buruh.

“Dengan keadaan Covid-19 sekarang serta sekatan kerja, industri hanya perlu bergerak ke arah digitalisasi dengan lebih cepat,” tambahnya sambil memberikan contoh penggunaan IBS sebagai jalan keluar.

Katanya, IBS mempunyai kelebihan tersendiri, termasuk kemampuan membina bangunan yang lebih baik dan lebih kompleks dalam jangka masa lebih pendek serta pada masa sama menjamin kualitinya.

“Dengan inisiatif Kementerian Kerja Raya untuk meningkatkan produktiviti negara sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0, penggunaan konkrit pracetak pasti akan memberikan kelebihan,” kata MBAM.

Projek tertangguh

Bagaimanapun, banyak kontraktor masih belum bersedia menggunakan teknologi tersebut kerana kos pelaburan yang tinggi dan kekurangan pengerjaan mahir bagi penerapan panel di kawasan pembinaan.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah & Perumahan (Rehda) Selangor Ho Hon Sang berkata, masalah buruh adalah satu daripada masalah terbesar bagi industri pembinaan.

Beliau menambah, pemaju menangguhkan projek baharu akibat kekurangan tenaga kerja.

Kerajaan membekukan sementara pengambilan pekerja asing baharu kerana wabak tersebut dan mengutamakan penduduk tempatan bagi peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, Kementerian Sumber Manusia melonggarkan larangan sementara untuk membenarkan sektor pembinaan, pertanian dan perladangan mengambil pekerja asing.

Namun, Ho berkata kekurangan tenaga kerja tetap menjadi kebimbangan utama pemaju dan mengurangkan jumlah pelancaran projek tahun ini.

“Kita mungkin perlu menunggu hingga sempadan dibuka kembali untuk melancarkan projek baharu dan diharap ketika itu pekerja asing dapat memasuki negara ini,” katanya.

Beliau berkata memandangkan situasi tersebut, Rehda menggesa ahlinya menggunakan sistem IBS, yang dapat mengurangi kebergantungan kepada tenaga kerja.

“Dengan IBS, ia mungkin dapat mengurangkan pergantungan buruh asing kira-kira 50%,” katanya.

Beliau menggambarkan sistem IBS seperti lego yang memerlukan pemasangan komponen yang dibina terlebih dahulu.

Ia merangkumi seperti pembingkaian konkrit pracetak, panel dan kotak, sistem pembingkaian logam, sistem pembingkaian kayu pasang siap, batu dan sistem kerja blok.  – 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen