Harga tepung naik cetus kesan berantai, kata pengeluar makanan


Khoo Gek San

Pengeluar makanan berasaskan tepung gandum berkata mereka terpaksa menyesuaikan harga produk dengan gelombang kenaikan harga bahan itu. – Gambar EPA, 1 Jun, 2022.

PENGELUAR makanan bimbang dengan masalah kekurangan bekalan tepung yang kian kritikal susulan perang di Ukraine dan tindakan India menyekat eksport gandum.

Ditambah pula dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 dan kenaikan harga barangan lain, pengeluar berkata mereka tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga produk.

Presiden Persatuan Peniaga Roti, Biskut, Konfeksi dan Mi Johor Chink Poh Cheng memberitahu The Malaysian Insight, harga tepung gandum seberat 25kg naik daripada RM47 kepada RM52. Kemudian naik lagi kepada RM57.50 pada April, katanya.

“Harga naik 20% dua kali tak sampai dua bulan. Beberapa kilang tepung maklumkan bekalan gandum kurang dan ini beri petanda tidak bagus bagi industri makanan,” tambah beliau.

Menurut Chink, ahli-ahli persatuannya bergantung kepada tepung untuk menghasilkan roti, mi dan makanan ringan, menyebabkan mereka terpaksa menyesuaikan harga dengan gelombang kenaikan harga tepung yang dijangka akan berterusan.

Harga makanan berasaskan tepung katanya mungkin akan naik sehingga 10%.

Seorang pemborong makanan yang mahu namanya dirahsiakan mendakwa sumber dalam kalangan pengilang berkata bekalan tepung akan berkurang bulan depan.

“Kalau harga tepung naik maka harga makanan juga akan naik, sebab pengeluar dah tak mampu lagi tanggung kenaikan kos,” katanya.

Presiden Persatuan Peniaga Bakeri, Biskut, Kuih-muih, Mi dan Kuay Teow Malaysia Lai Yee Kein berkata harga tepung naik 7% pada Mac, kemudian naik lagi kepada 11%. Beliau juga mendakwa beberapa kilang sudah memaklumkan harga tepung akan naik sebanyak 3.5% bulan ini.

Tambah Lai, sekurang-kurangnya 20% pengeluar makanan akan terjejas jika bekalan tepung terus berkurang.

“Pengeluar makanan sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Kilang tak mampu nak ambil pekerja baharu disebabkan kenaikan gaji minimum. Kalau hendak bergantung sepenuhnya kepada mesin pula banyak wang pelu dilaburkan. Memang susah hendak berniaga sekarang,” ujarnya.

Harga dim sum naik

Timbalan Presiden Persatuan Restoran Selangor & Wilayah Persekutuan Ku Su Shin Choong Hung, Justin Hor Chee Keong, berkata ahli-ahli persatuannya akan menaikkan harga makanan kira-kira 25% mulai Julai.

Katanya, harga tepung naik daripada RM33 kepada RM65 pada Februari dan Mac.

“Harga tepung, ayam dan minyak naik tiap-tiap bulan, jadi restoran kami tak boleh sesuaikan harga banyak kali.

“Harga dim sum di restoran naik 15% dan mungkin akan naik lagi sebanyak 25%. Kami dah selaraskan harga dua kali dalam setahun, dan kenaikan ini berbeza di setiap restoran, persatuan tak mampu nak kawal.

“Restoran pula kurang pekerja dan terpaksa naikkan gaji kalau nak upah pekerja baru. Pelanggan pula sekarang dah kurang berbelanja berbanding dulu.

“Ini bukan semata-mata tentang untung dan rugi, tetapi cabaran kami untuk terus bertahan,” kata Justin. – 1 Jun, 2022.     

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen