2 maut, 2 cedera dalam kemalangan di kilang di Bintulu


Polis Daerah Bintulu berkata punca kemalangan berkaitan kerja di Taman Perindustrian Samalaju masih dalam siasatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2022.

POLIS Bintulu hari ini mengesahkan dua pekerja kilang di Taman Perindustrian Samalaju maut dalam kemalangan berkaitan kerja semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Bartholomew Umpit berkata dua lagi pekerja mengalami cedera ringan dalam insiden itu yang berlaku di dalam kawasan kilang terbabit. 

“Kami telah menerima laporan mengenai insiden itu pada 9.10 malam dan telah mengambil kenyataan daripada beberapa saksi yang juga pekerja syarikat tersebut.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Punca insiden masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden itu dan menimbulkan keresahan yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat di Bintulu. 

Video berkaitan insiden itu memaparkan dua kakitangan perubatan membungkus mayat seorang daripada si mati dengan kain putih yang diletakkan di atas pengusung malam tadi menjadi tular di laman Facebook di Sarawak.

Seorang lelaki yang memakai baju luar hijau tertera nama OCIM di bahagian belakang turut dilihat mengambil gambar dan beberapa wanita meraung dalam video itu. – Bernama, 10 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen