Kuarters pekerja berpusat beri keselesaan, cegah Covid-19 menular


Chan Kok Leong

Ilustrasi Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) yang sedang sedang dibina di Balakong, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Mei, 2022.

PROJEK rintis bagi membina Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) sedang dibina di Selangor, dan individu di sebalik tabir projek itu berharap ia dapat menyelesaikan masalah penginapan pekerja sekali gus mencegah penyakit berjangkit seperti Covid-19.

Pemeriksaan mengejut pihak berkuasa ke atas asrama pekerja warga asing telah mendedahkan realiti keadaan tempat tinggal yang kotor, sesak dan berbahaya, serta tidak sesuai untuk diduduki.

Mengimbau semula situasi semasa lonjakan kes Covid-19 membabitkan kilang sepanjang 2020 dan tahun lalu, Setiausaha Eksekutif Persatuan Pemilik Tanah & Pengusaha Kilang Kawasan Perindustrian Kg Baru Balakong (KPIB) Alan Hoh berkata pemilik setiap hari dihubungi Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertanyakan mengenai jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

“Ketika itu jangkitan berlaku di semua tempat termasuk kilang-kilang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hoh yang juga seorang pemaju berkata, ketika kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak banyak kilang diarahkan tutup, manakala ramai pekerja menjalani kuarantin selepas dijangkiti Covid-19.

Banyak pihak mendakwa lonjakan kes pada tahun lepas berpunca dari kalangan pekerja asing terutamanya dalam sektor pembuatan, tetapi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia menepis dakwaan tersebut dengan berkata hanya 6% kes dikaitkan dengan kilang.

Ekonomi Malaysia pada 2020 menguncup 5.6% berbanding 4.3% pada 2019 susulan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara. Sektor pembinaan mencatat prestasi terburuk iaitu -19.4%, diikuti perlombongan (-10%), perkhidmatan (-5-5%), pembuatan (-2.2%) dan pertanian (-2%).

Putrajaya kemudian memperluaskan standard minimum perumahan dan penyediaan kemudahan asas bagi pekerja dalam semua sektor pekerjaan dengan meluluskan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, yang sebelum ini hanya terpakai untuk majikan dalam sektor perladangan dan perlombongan.

Pindaan akta itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai tahun yang sama, dan sepatutnya dikuatkuasakan bermula 1 September 2020. 

Bagaimanapun, kerajaan memberi tempoh kelonggaran sehingga Disember lalu bagi memberi masa yang mencukupi untuk majikan menyediakan kemudahan penginapan yang selamat serta kondusif kepada pekerja.

Langkah itu juga susulan kebanyakan majikan berkata mereka belum bersedia untuk menaik taraf penginapan pekerja ekoran masalah aliran tunai akibat pandemik Covid-19.

Hoh memaklumkan tempoh kelonggaran telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Susulan timbul banyak dakwaan yang menyalahkan kilang sebagai lonjakan kes Covid-19, Presiden KPIB Pang Yoon Shin berkata beliau bersama Pengarah Projek Y5 Development Sdn Bhd Simon Ho dan beberapa usahawan telah sepakat untuk membina CLQ di Balakong.

“Kami berpandangan sudah tiba masanya untuk cari jalan bagi menyelesaikan isu penginapan pekerja asing. Dan ketika itulah timbul idea untuk bina sendiri CLQ di Balakong,” kata Pang kepada The Malaysian Insight.

“Walaupun mungkin tidak semua pekerja asing mungkin dapat ditempatkan di sini, kami berharap CLQ ini akan membantu kami dan kerajaan memantau pekerja dengan lebih baik.

“Lebih senang untuk memantau kerana ramai pekerja asing tinggal di rumah sewa, lot kedai dan beberapa tapak pembinaan atau restoran di mana mereka bekerja,” tambahnya.

Aduan penduduk tempatan juga antara sebab yang mendorong projek pembinaan CLQ, katanya.

Menurut Pang, terdapat kira-kira 250 dengan sekitar 6,000 pekerja asing beroperasi di kawasan perindustrian Balakong. – 27 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen