Kilang lebur aluminium di Melaka diarah tutup serta-merta


SEBUAH kilang yang menjalankan operasi peleburan aluminium aloi sekunder di Taman Teknologi Cheng di Melaka diarah tutup serta-merta selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri DatZaidi Attan berkata kilang yang telah beroperasi sejak 2016 itu turut menjalankan aktiviti kitar semula, dan ia dikesan beroperasi tanpa kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka.

Beliau berkata aktiviti dijalankan kilang berkenaan dikesan melepaskan udara tercemar yang hitam dan berbau sehingga membahayakan orang awam.

Menurutnya JAS menjalankan 23 pemeriksaan ke atas premis berkenaan sejak 2016 dan 23 kompaun dikeluarkan sejak 2019 melibatkan kesalahan sistem sisa terjadual yang tidak diuruskan dengan betul, selain sembilan notis arahan dikeluarkan sejak 2019 supaya kilang membuat pelbagai penambahbaikan.

“Menerusi penguatkuasaan yang dijalankan JAS Melaka pada 22 Sept 2020, premis berkenaan dikesan telah meningkatkan kapasiti pemprosesan sedia ada dengan memasang dua relau peleburan dan satu relau ‘holding’ yang menempatkan tiga alat pembakaran bahan api,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi penguatkuasaan ke atas premis berkenaan hari ini, dan turut bersama beliau dalam operasi ini Pengarah JAS Melaka Rosli Osman dan Penolong Pengarah (Operasi) JAS Melaka Asmahani Abd Manan.

Zaidi berkata Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah membatalkan lesen operasi kilang berkenaan, dan pemotongan elektrik telah dilakukan Tenaga Nasional Berhad manakala pemotongan bekalan air akan dilakukan Syarikat Air Melaka Berhad dalam masa terdekat. – Bernama, 23 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen