POLITIKUS kini mula menyatakan kebimbangan yang pengundi muda kali pertama mengundi bukan sahaja masih belum cukup matang untuk memilih calon pilihan mereka, mereka juga tidak akan turun mengundi bila tiba masanya.
Bercakap pada wacana politik di Twitter Spaces malam tadi – bertajuk GE15: Battle for 7 million youth votes- What must political parties after? – mereka berkata yang pengundi muda kali pertama mengundi kekurangan keupayaan melakukan “pemikiran kritis” bagi menilai calon dan parti politik yang patut mereka pilih dan sokong.
Perbincangan dalam talian itu dianjurkan organisasi masyarakat sivil, Harimau Asia.
Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaludin berkata beliau bimbangkan kematangan pengundi muda dalam membuat keputusan, dan perlunya ada lebih usaha untuk mendekati mereka.
Tambah naib ketua DAP Selangor berusia 33 tahun itu lagi, jika parti politik merasakan yang pengundi muda ini penting, perlu ada usaha untuk mendekati dan menyediakan mereka dalam proses membuat keputusan.
“Kita perlu sediakan mereka. Beri mereka maklumat dan ilmu pengetahuan.
“(Cipta) kesedaran (untuk kemampuan melakukan) pemikiran kritis.
“Sekarang kita beri belia yang berusia 18 tahun ke atas peluang untuk mengundi tetapi malangnya kita tidak (mendidik mereka untuk berfikir).”
Jamaliah menyalahkan masalah ini kepada budaya rakyat Malaysia.
Katanya: “Ia bukan budaya kita untuk ada pemikiran kritis”.

Dalam situasi seperti itu, katanya pengundi muda boleh menjadi mangsa beli undi apabila mudah terpengaruh untuk menyerahkan undi mereka kepada sesiapa yang menawarkan wang.
“Disebabkan mereka tidak ada idea siapa calon atau parti politik yang bertanding, mereka mungkin jadi mangsa mudah beli undi.”
Sementara itu, Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata beliau lebih bimbangkan kaedah hendak memujuk pengundi muda untuk keluar mengundi.
Timbalan ketua penerangan Bersatu itu berkata memujuk pengundi muda keluar mengundi bukan sahaja sangat penting tetapi ia “sangat mustahak”.
Afif berkata kebimbangan itu wujud selepas melihatkan situasi di Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu apabila jumlah pengundi muda keluar mengundi adalah rendah.
“Pengundi yang sebenarnya keluar mengundi adalah pengundi lama (berusia), mereka ini yang sedar yang mereka perlu keluar mengundi.”
Afif berkata disebabkan itu tidak cukup untuk parti politik hanya cuba memahami dan memperjuangkan isu belia.
Usaha mempromosi dan menggalakkan pengundi muda keluar mengundi juga perlu dibuat, tambahnya.

Ketua Pemuda Parti Bangsa Malaysia Na’im Brundage pula menjelaskan antara sebab mengapa pengundi muda kurang cenderung keluar mengundi berbanding generasi berusia mempunyai kaitan dengan parti politik.
“Parti politik terutamanya yang sudah lama bertapak tidak mampu mendekati belia hari ini.
“Ramai politikus yang kita ada, tak berpijak di bumi nyata.”
Tambahnya, pengundi muda juga apabila keluar mengundi, “hanya memberi undi kepada siapa yang kurang jahatnya.”
“Ada tanggapan mereka (pengundi muda) yang parti politik, politikus, mereka ini semua jahat.” – 29 Mei, 2022.
Komen