Kebanyakan kes Covid-19 bukan dari kilang, kata pembantu Azmin


Raevathi Supramaniam

DATA mengenai jangkitan Covid-19 perlu dibentangkan dengan betul supaya orang ramai tahu dari mana punca kes, kata Dr Afif Bahardin.

Pegawai tugas khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali berkata seperti sekarang, data yang disampaikan memberikan gambaran salah yang kilang dan industri adalah penyumbang terbesar lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

“Daripada lebih 11,000 kes semalam, begitu mudah menuding kilang sebagai sumber jangkitan tetapi ia sebenarnya disebabkan varian Delta dan jangkitan sporadik dalam komuniti.

“Jika kita perhatikan jumlahnya semalam, 11,079 jangkitan baru yang dilaporkan semalam, hanya 214 jangkitan yang dikesan berpunca dari tempat kerja,” katanya pada forum yang membincangkan sama ada kesihatan atau ekonomi lebih penting, anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia Institut Pengajian Etnik.

Semalam, buat pertama kalinya jumlah jangkitan mencapai lima angka. Terdapat 23 kluster dan 13 dikesan berpunca dari tempat kerja.

Ketua Pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengaitkan lonjakan itu dengan varian membimbangkan, seperti strain Delta, yang menular dengan pantas dalam komuniti.

Afif berkata langkah yang diambil Miti, seperti menggalakkan kerja dari rumah seboleh mungkin, inisiatif keselamatan di tempat kerja yang meningkatkan ujian saringan dan baru-baru ini Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-​Swasta (Pikas), berjaya menurunkan jumlah jangkitan di tempat kerja.

“Tanggungjawab Miti adalah menjaga ekonomi dan apa yang kita lakukan sekarang adalah memastikan langkah drastik perlu diambil untuk mengekang penyebaran Covid-19 di kalangan industri.” – 14 Julai, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen