Selamat Hari Malaysia! 


HARI Malaysia disambut setiap 16 September bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia sejak tahun 1963. 

Hari ini, sudah 58 tahun Malaysia dibentuk secara rasmi. Sempena Hari Malaysia, mari kita hayati perasaan kasih dan cinta kita terhadap negara. 

Malaysia merupakan satu-satunya tempat digelar sebagai rumah, tanah air dan ibu pertiwi. Maka, tiada apa-apa yang mampu menggantikannya. 

Tapi, jika tulus mencintai negara, kita perlu cintainya dengan seluruh keikhlasan dan bukannya dengan hiasan seperti slogan 1Malaysia, Malaysia Prihatin atau Keluarga Malaysia yang dilaungkan, malangnya tanpa konteks. 

Kita perlu mengakui kekurangan kita. Kita perlu jujur menerima banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dalam negara kita. 

Contoh umum, sistem perundangan yang tidak lengkap, polisi-polisi separuh masuk, penguatkuasaan yang tidak adil, kekangan bersuara, penyalahgunaan kuasa, korupsi dan lain-lain. 

Kita perlu suarakan kekurangan kita. Kita perlu bangkit untuk menyuarakan kelemahan-kelemahan ini supaya pihak pemerintah merasai desakan dan akhirnya membawa kepada pembaharuan. 

Akui dan suarai kekurangan tidak bermaksud kita tidak bersifat patriotik atau tidak cintakan negara. Apa yang bahaya untuk negara kita, adalah bila kita memilih untuk cinta membuta tuli – tidak mahu mengakui kelemahan, berpura-pura bagus dan enggan untuk berubah. 

Mengambil cinta kepada seorang anak sebagai perumpamaan, jikalau kita benar-benar sayangkan anak, bukan caranya dengan memanjakan atau memenuhi segala permintaan mereka. Kita mahu pastikan mereka diasuh dengan nilai yang betul.

Apabila anak kita mempunyai masalah sikap atau displin, tindakan lanjut tidak seharusnya adalah dengan menyembunyikan masalah ini dari orang ramai, namun mengajar dan melatih mereka supaya membuang sikap negatif atau tabiat buruk tersebut.

Saya pernah dituduh tidak sayangkan negara hanya kerana kritikan atau sindiran saya sebelum ini terhadap pentadbiran Perikatan Nasional, terutamanya sepanjang tempoh pendamik Covid-19. 

Tetapi, apa gunanya berpura-pura yang negara kita dalam keadaan sempurna jika realitinya jauh dari itu? 

Sama seperti, adakah kita betul-betul sayangkan anak sekiranya kita sembunyikan keburukkan dia demi kononnya menjaga “air muka” keluarga? 

Jadi, akan lebih bermakna jika kita berani mengakui dan suarakan kekurangan kita, seterusnya membanting tulang bagi mencipta sejarah masa hadapan Malaysia yang lebih cerah. 

Kita mahu satu hari nanti, Malaysia dikenali diseluruh dunia, untuk perkara-perkara yang boleh kita banggakan (semestinya bukan 1MDB!). Kita mahu kembali dikenali sebagai “Harimau Asia” yang tulen. 

Kita mahu semangat cintakan Malaysia ini menjadi satu budaya yang meresapi jiwa dan wujud dalam tugas harian yang kita laksanakan. 

Kita mahu semangat lakukan yang terbaik dalam perkara yang terkecil sekalipun demi mengharumkan nama negara. 

Kita tidak mahu lagi “cinta” pada atas permukaan ataupun laungan kosong cintakan negara setiap perayaan Hari Malaysia. 

Inilah harapan saya sempena 16 September kali ini. Bahawa cinta kita terhadap negara dan tanah air ini, adalah cinta dengan seluruh keikhlasan. Amin. – 16 September, 2021.

* Jamaliah Jamaluddin, Adun Bandar Utama (Selangor). 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen