KEPUTUSAN untuk menyertai Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin bukan satu perkara mudah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bekas PKR Afif Bahardin.
Ketika berucap pada majlis Kongres Negara hari ini, Adun Seberang Jaya itu berkata keputusan itu dibuat demi untuk menyelamatkan negara daripada ketidakstabilan politik.
“Keputusan Azmin (Ali) untuk menyertai Muhyiddin dan membentuk gabungan Perikatan Nasional demi untuk menyelamatkan negara,” kata bekas timbalan ketua AMK itu.
Kongres Negara diadakan oleh Penggerak Komuniti Negara bersama Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara ― semua pertubuhan yang dikaitkan dengan Azmin dan sekutunya yang meninggalkan PKR bagi menyokong Perikatan Nasional pada Februari lalu.
Afif yang merupakan bekas exco Pulau Pinang, meletak jawatannya selepas diarahkan menunjukkan surat tunjuk sebab oleh PKR yang menuduhnya mensabotaj parti pada kongres tahunan pada Disember tahun lalu.
“Kita perlu mengambil kira pengorbanan ramai orang tetapi kita perlu juga membuat keputusan mengenai masa depan negara ini,” katanya.
“Kita perlu mengambil kita banyak perkara tetapi akhirnya, kita terpaksa membuat keputusan.”
Beliau kemudiannya menyertai Bersatu dan menubuhkan Pemuda Negara, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan demokrasi dan hubungan antara kaum dalam kalangan belia Malaysia. – 22 Ogos, 2020.
Komen