Isu Bersatu tolak pengikut Azmin kes terpencil, kata Afif Bahardin


Adun Seberang Jaya Afif Bahardin berkata isu beberapa bahagian Bersatu tidak menerima bekas anggota PKR adalah kes terpencil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

MAJORITI bahagian Bersatu seluruh negara menerima kemasukan bekas ahli PKR dan juga pengikut bekas timbalan presiden parti tersebut, Mohamed Azmin Ali, kata seorang pengikutnya.

Adun Seberang Jaya Afif Bahardin itu memberitahu The Malaysian Insight, hanya beberapa bahagian Bersatu tidak menerima bekas anggota PKR yang disifatkannya sebagai kes terpencil.

“Proses integrasi sedang giat dijalankan. Hanya ada satu, dua kes terpencil (yang tidak menerima kami). Bukanlah besar, tetapi diberi perhatian seolah-olah itu sedang berlaku.

“Majoriti bahagian terima dengan baik dan sebahagian besar mereka juga mahu gabungan kelompok besar satukan Bersatu.

“Dan kita bersedia menjadi gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya akan datang,” jelas beliau.

Beliau mengulas rungutan anggota parti, seperti yang timbul di Selangor dan Johor melibatkan bahagian Bersatu yang enggan menerima bekas ahli PKR.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, masalah itu tertumpu di bahagian Bersatu yang melibatkan ramai bekas ahli dari PKR.

Oleh itu mereka syak pemimpin terlibat hanya mahu kemasukan bekas ahli PKR mengukuhkan lagi jawatan dan tidak menggugat kedudukan di bahagian Bersatu terbabit, kata seorang daripadanya.

Majoriti bahagian Bersatu terima bekas anggota PKR, kata timbalan ketua penerangannya Afif Bahardin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

Afif bagaimanapun menangkis dakwaan itu dan menjelaskan, bekas ahli PKR kini di peringkat suai kenal dan integrasi dalam parti baharu.

“Kita masih dalam proses, Bersatu pun baru membuat pindaan perlembagaan. Saya nak rumuskan, kita masih dalam sesi ice-breaking.

“Majoriti dalam rakan-rakan bersama kami memang memilih platform politik Bersatu, (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin dan pimpinan Bersatu terima kami.

“Kita sedang bagi borang untuk keanggotaan, saya pun telah diberi amanah sebagai timbalan pengerusi Biro Penerangan Bersatu pusat,” katanya.

Afif yang juga penggerak NGO Pemuda Negara dilantik ke jawatan itu sewaktu menyertai Bersatu bersama Azmin dan pengikut lain.

Penyertaan itu dibuat selepas kumpulan Azmin mengadakan perhimpunan dinamakan Kongres Negara pada Ogos, selepas Bersatu mengadakan mesyuarat agung pertamanya.

Kongres itu disertai Pemuda Negara dan NGO dari bekas ahli PKR lain – Penggerak Komuniti Negara (PKN), Nation of Women (NOW), Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara.

Bersatu menerima keahlian Azmin dan 10 lagi ahli Parlimen daripada kalangan bekas pemimpin PKR, termasuk anggota empat pertubuhan berkenaan, yang dianggarkan mencecah 200,000 orang.

Pada masa itu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menyatakan komitmen untuk memudahkan proses penerimaan keahlian mereka.

Azmin juga dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersama seorang lagi ahli Parlimen, Zuraida Kamarudin. – 1 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen