Iktiraf pengeluar ayam halal luar negara dahulu, kata Mydin


Diyana Ibrahim

Pasar raya Mydin mengehadkan pembelian dua ekor ayam bagi seorang pelanggan sejak Hari Raya Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

KERAJAAN perlu melaksanakan usaha luar biasa untuk mengiktiraf lebih banyak pengeluar ayam halal luar negara bagi menjamin bekalan, menurut pemborong besar Mydin.

Pengarah urusannya Ameer Ali Mydin berkata, ia perlu dilakukan kerana bekalan tidak akan pulih dalam masa terdekat biarpun dengan menghentikan eksport dan memansuhkan permit import (AP).

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, keputusan menghentikan eksport satu langkah baik namun ia masih tidak memberi impak besar menyelesaikan krisis bekalan ayam dalam negara.

Jelasnya, jumlah eksport ayam yang dihentikan sangat kecil berbanding 62.9 juta yang diperlukan Malaysia setiap bulan, kata tokoh perniagaan itu.

“Saya lihat krisis ini akan berlanjutan walaupun kerajaan kata telah hentikan eksport ayam. Kita tengok 3.6 juta eksport itu macam banyak.

“Tapi kita kena ingat keperluan rakyat Malaysia untuk bekalan ayam adalah dalam 62.9 juta sebulan.

“Jadi nak banding jumlah eksport ayam negara dalam 6% sahaja berbanding 62.9 juta jumlah bekalan ayam yang kita perlukan.

“Biarpun ia merupakan langkah yang bagus namun ia masih tidak memadai,” katanya.

Tambahnya, keputusan memansuhkan AP ayam pula akan menyukarkan pengeluar kerana masih perlu berdepan pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Masalah kita sekarang biarpun kerajaan memansuhkan permit AP ayam tapi kita ada halangan lain iaitu kekangan pengiktirafan sijil halal abatoir atau loji pemprosesan atau penyembelihan ayam di luar negara.

“Seperti contoh di Thailand hanya ada tujuh pembekal sahaja yang mendapat pengiktirafan halal.

“Biarpun kerajaan sudah buka syarat AP tapi pembekal tak ramai. Jadi mereka pun buat kartel sendiri dengan cuba naikkan harga kerana mereka tahu kita memerlukan ayam,” katanya.

Mengulas lanjut, Ameer berharap kerajaan memperbaiki kelemahan dengan memberi kelonggaran dan menambah pengiktirafan sijil halal kepada pembekal ayam di luar negara.

Pengarah urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, bekalan tidak akan pulih dalam masa terdekat biarpun dengan menghentikan eksport dan memansuhkan permit import. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi negara Islam seperti Arab Saudi yang boleh memberi banyak pengiktirafan sijil halal kepada pembekal ayam di luar negara.

“Saya minta Jakim jangan susahkan rakyat. Kita faham memang kita nak pastikan barang atau bekalan makanan itu halal tapi jangan susahkan rakyat dengan buat limitasi.

“Saya juga nak cadangkan Jakim boleh sahaja iktiraf sijil halal ikut negeri Arab Saudi, sebab takkan lah negara Islam ini salah.

“Kita selalu pergi di Arab Saudi memang kita makan tanpa was-was. Jadi untuk jangka masa pendek mari kita tangani masalah dengan sebetulnya,” katanya.

Jelasnya, langkah luar biasa perlu diambil untuk menangani krisis yang dilihatnya seperti zaman perang pada waktu ini.

“Jangan ikut apa yang biasa dibuat kerana ini ibarat satu peperangan.

“Dari rakyat susah dan harga barang mahal, mari kita tambahkan lesen halal kepada syarikat penyembelihan ayam yang diiktiraf di luar negara,” katanya.

Oleh itu, beliau mencadangkan Jakim membuat kelonggaran memberi pengiktirafan kepada syarikat pembekal ayam luar yang sudahpun mendapat sijil halal di negara mereka.

Beliau berkata Jakim boleh berbuat demikian kerana amalan itu dipraktikkan bagi produk seperti sardin dan kosmetik.

“Kalau untuk sardin dan kosmetik kita boleh guna pengiktirafan halal dari negara mereka patutnya untuk bekalan ayam pun kita lakukan juga,” katanya.

Ditanya mengenai stok ayam yang sentiasa mencukupi di pasar raya seperti di Mydin, beliau berkata isunya kini bekalan ayam kurang dan terputus sama sekali.

Jelas beliau, pasar raya beliau mengambil langkah mengehadkan pembelian dua ekor ayam bagi seorang pelanggan sejak Hari Raya Aidilfitri bagi menampung kekurangan itu.

“Sebenarnya kita kekurangan ayam bukan tak ada langsung bekalan ayam. Macam di Mydin kita dapat 30% hingga 40% bekalan yang kita perlukan.

“Apa yang kita buat kita hadkan pembelian dua ekor ayam bagi seorang,” katanya.

Jumlah eksport ayam yang dihentikan sangat kecil berbanding 62.9 juta yang diperlukan Malaysia setiap bulan, kata pengarah urusan Mydin, Ameer Ali Mydin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

Beliau berkata kekurangan bekalan hanya berlaku kepada ayam bulat tapi bagi keratan ayam stok yang ada masih banyak dan mencukupi.

“Ayam keratan kita masih banyak tapi sudah tentu kalau harga siling pasaran ayam RM8.90 tapi keratan itu harga mungkin mahal dalam RM12 ke RM14 sekilo.

“Tapi ia lebih baik daripada kita langsung tak mempunyai bekalan ayam,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin yang menghentikan eksport ayam bermula 1 Jun sebagai langkah jangka pendek menstabilkan bekalan.

Ismail juga mengumumkan pemansuhan AP ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport bagi menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan langkah mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.

Kerajaan juga membuat ketetapan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada kadar RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta.

Ketetapan itu dibuat bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia yang dilaksanakan sejak 5 Februari lepas. – 26 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen