Saya halalkan perbuatan mereka, kata pengarah urusan Mydin


Cawangan Mydin Mart, Sri Muda turut musnah akibat banjir pada 18 Disember dan mengakibatkan kerugian melebihi jutaan ringgit. – Gambar Facebook, 21 Disember, 2021.

PENGARAH urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Dr Ameer Ali Mydin menghalalkan perbuatan mereka yang memecah masuk di premis Mydin Mart ekoran bantuan yang lambat tiba sewaktu banjir teruk baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan maklum balas mengenai insiden pecah masuk premis Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam yang hangat dibincangkan di media sosial dan media tempatan, beliau amat tersentuh dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutamanya ketika negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.

“Sejujurnya, saya tidak menyokong perbuatan mencuri tersebut, namun dalam keadaan darurat, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” katanya.

Cawangan Mydin Mart, Sri Muda turut musnah akibat banjir pada 18 Disember dan mengakibatkan kerugian melebihi jutaan ringgit. – Bernama, 21 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen