Saranan tauke Mydin dan anak emas kerajaan


Zainal Rashid Ahmad

TAIKUN runcit terkenal Ameer Ali Mydin menyarankan penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji.

Dalam sejarah Malaysia, inilah pertama kali kita mendengar cadangan di luar kotak. Saran yang begitu daring dan berani.

Peneraju Mydin Mohamed Holdings Bhd itu juga mengaitkan, tindakan drastik memotong gaji penjawat awam  sejajar dengan langkah menteri Kabinet.

Pada Mac lalu, Kabinet mengumumkan persetujuan menerima pemotongan gaji selama dua bulan.

“Menteri dan timbalan menteri menerima potongan gaji. Menteri besar dan exco negeri juga berbuat demikian. Itu bagus.

“Tetapi pegawai tinggi kerajaan masih dapat gaji penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang bergaji RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer yang dipetik sebuah portal.

Cadangan Ameer menyeru kepada tindakan yang perlu dilakukan kerajaan ketika krisis kemelesetan ekonomi melanda negara.

Sebagai peruncit yang empat dekad berada dalam pasaran, taikun premis serbaneka ini sedar – Malaysia selepas period Covid-19 akan menjunam ekonominya.

Ketika lebih 13 juta pekerja di luar sektor kerajaan berdepan tekanan pemotongan gaji, cuti tanpa gaji dan kehilangan pekerjaan, Ameer mahu melihat “perkongsian kesukaran hidup” diratakan secara adil dan saksama.

Apa pun, pandangan Ameer sukar dilaksanakan.

Sejak merdeka, penjawat awam adalah “anak emas” kerajaan. Malah, hampir 400 agensi kerajaan yang ada, hampir 30% kelihatan sudah tidak relevan, tetapi masih kekal wujud,.

Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mula memerintah, satu kajian komprehensif dijalankan bagi menyusun semula peranan setiap agensi.

Ada keseriusan untuk menggabungkan agensi yang bertindih peranannya. Malah, menutup agensi yang tidak lagi relevan dan menyumbang pada negara.

Kos operasi tiap agensi bukan kecil. Berdasarkan jumlah 373 agensi dalam lima kluster utama, kos gaji dan operasi menelan jumlah berbilion ringgit setiap tahun.

Terdapat lima kluster utama dengan 56 agensi dibawah kluster JPM, kluster ekonomi (71), kluster keselamatan (26), kluster pendidikan & sosial (102) dan kluster pembangunan dan infrastruktur (118).

Normal baharu wajar hapus budaya selesa 

Kerajaan PH akhirnya tidak mengubah apa-apa terhadap pembaziran akibat kewujudan terlalu banyak agensi.

Melainkan hanya menutup agensi yang dianggap musuh politik PH. Hanya Biro Tata Negara (BTN) dan Institut Kefahaman Strategik Islam (Iksim) dibubarkan.

BTN dianggap kakasan nasionalisme Melayu pro Umno. Manakala, Iksim dianggap terlalu Islamik dan anti gerakan Kristianisasi. Selebihnya, negara terus berdepan beban pembaziran. Banyak agensi sebenarnya sudah tidak relevan.

Kajian Pejabat Ketua Setiauasaha Negara pada 2018 wajar dirujuk semula. Ketika itu sudah ada pelan besar menyusun semula agensi kerajaan agar tidak membazir.

Kita sedang berdepan krisis ekonomi yang kritikal. Kerajaan tidak wajar terus membiayai agensi yang tidak lagi efisyen.

Mentaliti penjawat awam dan agensi kerajaan yang sentiasa berasa diri sebagai “anak emas” wajar dinoktahkan.

Cuepacs melenting

Cadangan Ameer mengenai pemotongan gaji segera dibantah dengan nada tegas dan keras oleh pihak yang enggan kehilangan “payung anak emas”.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan pemotongan gaji walaupun atas alasan tekanan ekonomi.

Presidennya, Adnan Mat menolak cadangan yang disifatkan sebagai tidak wajar dan tidak kena waktunya.

“Cuepacs memandang serius laporan media mengenai cadangan itu dan berasa kesal dan kami membantah cadangan tersebut sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada 23 April.

Cuepacs nampaknya masih tidak nampak perlunya penjawat awam berkorban. Apalagi dalam keadaan risiko 2.4 juta pekerja bukan kerajaan akan kehilangan kerja.

Cuepacs enggan berkorban dalam keadaan negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi.

Cuepacs enggan melihat data dan isyarat Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Negara mengenai ketenatan ekonomi global dan domestik.

Adnan menyifatkan cadangan Ameer, sebagai menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap penjawat awam.

“Krisis yang dihadapi negara pada hari ini bukanlah perkara yang diingini rakyat termasuk penjawat awam.

“Ramai penjawat awam masih menjalankan tugas seperti biasa. Mereka yang berada di barisan hadapan tetap menjalankan tugas tidak kira hujan atau panas dan terdedah kepada risiko jangkitan,” tambahnya.

Cuepacs akhirnya bersifat defensif. Malah, menggunakan elemen petugas barisan depan sebagai ungkitan untuk kekal selesa.

Padahal, Cuepacs wajar memikirkan nasib keseluruhan pekerja di negara ini. Tapi apakan daya – “anak emas” sentiasa istimewa. – 26 April, 2020. 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen