Rakyat terdesak curi ikan kering untuk teruskan hidup, kata bos Mydin


Alfian Z.M. Tahir

Pengasan rangkaian pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin berkata beliau tidak pernah melihat ramai orang begitu terdesak sehingga terpaksa mencuri makanan sehinggalah kerajaan melaksanakan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.

RATA-rata yang mencuri makanan di rangkaian pasar raya Mydin mengaku mereka terpaksa berbuat demikian kerana desakan hidup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19, kata pengasasnya, Ameer Ali Mydin.

Kes kecurian meningkat di pasar raya besar di seluruh negara termasuk pasar raya Mydin sejak PKP pertama kali dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

“Mereka menangis ketika ditangkap. Pencuri tak akan menangis kerana sudah biasa mencuri. Mereka ini menangis kerana terpaksa mencuri untuk teruskan hidup,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Ameer Ali berkata, sepanjang beliau menjalankan perniagaan beliau tidak pernah melihat ramai orang begitu terdesak sehingga terpaksa mencuri makanan.

“Perkara ini tak pernah berlaku sebelum ini. Sekarang ramai orang mencuri sebab tak ada makanan di rumah.

“Pencuri biasanya akan curi barang mahal, yang boleh dijual balik. Dia tak akan cuma curi ikan kering, dua tin susu pekat, sebungkus mi segera atau setin ikan sardin,” katanya.

Malaysia melaksanakan PKP 3.0 bermula 12 Mei lalu, kemudian PKP penuh bermula 1 Jun di seluruh negara. Manakala 34 mukim dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur pula kini diletakkan di bawah PKP Diperketatkan berkuatkuasa 3 hingga 16 Julai.

“Berapa lama lagi rakyat dapat bertahan kalau tak ada pendapatan sepanjang sekatan pergerakan?” soalnya, sambil menggesa Putrajaya melaksanakan sekatan penuh hanya di lokasi titik panas penularan Covid-19.

Desakan hidup rakyat sehingga terpaksa mencuri mula didedahkan ahli perniagaan itu semasa beliau menjadi panel dalam sidang media anjuran Industries Unite (IU) minggu lalu. IU adalah gabungan 115 persatuan, institusi dan badan perdagangan perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia.

Ameer Ali ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata mereka ditangkap kerana mencuri di pasar rayanya dilepaskan dan dibenarkan membawa pulang makanan yang diambil.

“Saya tak kira berapa banyak kerugian kerana kami lepaskan sahaja mereka.

“Saya tahu kerajaan sedang cuba melakukan yang terbaik, tetapi pada pandangan saya mereka tidak boleh kurung seluruh negara untuk bendung wabak.

“Rakyat sudah hilang punca pendapatan, perlu bekerja untuk teruskan hidup. Bagi saya sekatan pergerakan bersasar adalah jalan terbaik,” kata Ameer Ali.

Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membawa negara keluar daripada krisis Covid-19, yang melibatkan empat fasa pelan peralihan PKP secara berperingkat.

Peralihan dari satu fasa ke fasa seterusnya berpandukan kepada tiga petunjuk atau nilai ambang iaitu jumlah kes harian Covid-19, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan penduduk yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa 1 sama seperti PKP penuh yang sedang dilaksanakan sekarang, dan akan beralih kepada Fasa 2 selepas purata angka harian Covid-19 di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10% populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Sabtu lalu, lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN berkuat kuasa 5 Julai lalu, manakala Sabah pada Sabtu lepas.

Semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi semasa Fasa 3 PPN kecuali aktiviti yang tersenarai sebagai sektor berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian. Purata kes harian Covid-19 ketika itu juga turun ke paras bawah 2,000 kes.

Ameer Ali bagaimanapun berkata berdasarkan situasi pandemik sekarang ini, amat sukar untuk negara masuk ke Fasa 3 PPN. Angka harian masih lebih 5,000 kes sejak akhir Jun dan meningkat kepada lebih 9,000 selama tiga hari berturut-turut beberapa hari lalu sebelum turun sedikit kepada 8,574 semalam.

Susulan itu katanya, kerajaan disarankan mengenakan sekatan ketat pergerakan secara bersasar, bukan hampir seluruh Selangor. – 14 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen