Naikkan harga siling ayam bantu penternak, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir Khoo Gek San

Subsidi 60 sen sekilogram menyebabkan kerajaan menanggung kos RM729 juta bagi menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 sekilogram bermula 5 Februari hingga 5 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

HARGA siling ayam perlu dinaikkan bagi membantu penternak ayam manakala program makanan juga perlu diperkenalkan untuk pengguna yang memerlukan, kata Pengarah Institut Kajian Perladangan Prof Dr Shaufique Fahmi Sidique berhubung kekurangan bekalan ayam.

Bagaimanapun katanya, ini adalah langkah jangka pendek yang hanya boleh menangani masalah itu buat sementara waktu selain langkah lain seperti memansuhkan permit (AP) yang diluluskan untuk import ayam dan pembekuan eksport ayam.

Dengan menyediakan bantuan untuk golongan berpendapatan rendah, kerajaan boleh “mengimbangkan keadaan”, membantu kedua-dua petani dan pengguna B40, kata ahli akademik Universiti Putra Malaysia itu.

Penternak ayam menanggung kos pengeluaran yang tinggi walaupun dengan subsidi untuk mengekalkan harga siling ayam standard pada RM8.90 sekilogram, kerana harga makanan ayam dan input lain meningkat.

Shaufique memberitahu The Malaysian Insight sudah ada tanda-tanda kemungkinan krisis semasa peringkat awal pandemik Covid-19 dan kerajaan sepatutnya menjangkakan kekurangan bekalan ayam apabila kos pengeluaran meningkat. Kini, perang Rusia-Ukraine telah memburukkan lagi keadaan.

“Ini sangat dijangka dan kami dapat melihat masalah berlaku apabila kami dilanda wabak itu. Pada masa itu, pasaran terjejas teruk, kerana apabila tiada orang membeli, bermakna tiada siapa yang mengeluarkan.

“Pada masa ini kos pengeluaran tinggi, penternak tidak dapat menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram. Apabila kos tinggi, pengeluaran akan rendah dan sebab itu saya berpendapat harga standard ayam harus diperbanyakkan,” kata Shaufique.

Subsidi sebanyak 60 sen sekilogram menyebabkan kerajaan menanggung kos RM729 juta untuk menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 sekilogram bermula 5 Februari hingga 5 Jun ini.

Peniaga jangka lebih banyak penurunan bekalan 

Pada hujung minggu, harga ayam di pasar borong di Lembah Klang melonjak sehingga RM13 sekilogram. Bekalan berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini kerana kilang pemprosesan ayam dilaporkan menghentikan pengeluaran pada hujung minggu kerana masalah bekalan.

Ini termasuk penangguhan subsidi kepada penternak ayam, ayam yang kurang berat badan dan penyakit.

Penjual ayam, Lim Kin He, yang mengetuai persatuan penjaja dan peniaga kecil di Pudu, Kuala Lumpur, berkata peniaga ayam belum dapat menjual kepada pelanggan jumlah yang diminta.

Beliau berkata bekalan semakin berkurangan sejak bulan lepas dan menjangkakan ia akan turun lagi 30% hingga 50% minggu depan.

“Saya membuat tempahan untuk katakan, 10 ekor ayam, tetapi pembekal saya hanya menghantar lima atau enam ekor. Jika keadaan tidak bertambah baik, bekalan akan berkurangan minggu depan dan harga akan lebih tinggi,” katanya.

Lim berkata beliau juga mendengar daripada beberapa penternak bahawa mereka tidak dapat membekalkan ayam yang mencukupi kerana ayam belum mencapai berat yang dikehendaki.

Penjual ayam dan itik Richard Wan berkata dia pernah menerima bekalan ayam segar setiap hari, tetapi pembekal hanya menghantar lewat dua hari seminggu.

“Saya akan memenuhi tempahan yang dibuat oleh restoran dan penjaja dahulu, dan kemudian daripada pelanggan tetap saya. Jadi pelanggan lain yang datang ke pasar hanya boleh berharap untuk mencuba nasib,” kata Wan sambil menambah bahawa ramai peniaga menjual melebihi harga siling RM8.90 pada RM10.

Isnin lalu, Putrajaya mengumumkan penggantungan eksport ayam Malaysia dari 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran stabil.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga berkata prosedur untuk penternak ayam memohon subsidi akan dipermudahkan lagi.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke untuk memperuntukkan kawasan yang lebih besar bagi menanam bijirin untuk mengurangkan pergantungan kepada makanan ayam import, Shaufique tidak bersetuju.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, kita perlu meningkatkan kecekapan. Tetapi untuk menanam bijirin kita sendiri adalah sesuatu yang saya tidak bersetuju.

“Masalahnya sekarang ialah harga. Bekalan ada tetapi harganya tinggi. Satu-satunya cara ialah membantu pengguna.” – 25 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen