Pengguna bergelut harga ayam di Lembah Klang naik RM13 sekilogram


Alfian Z.M. Tahir

Seorang peniaga di Pasar Besar Klang berkata, beliau terpaksa menjual ayam pada harga RM13 sekilogram kerana permintaan tinggi daripada pengguna. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Mei, 2022.

HARGA ayam di pasar borong sekitar Lembah Klang melonjak sehingga RM13 sekilogram setakat pagi ini berikutan kekurangan bekalan yang meruncing.

Tinjauan The Malaysian Insight di Pasar Besar Klang di Jalan Meru, pasar Seksyen 6, Shah Alam dan pasar Jalan Raja Alang di Chow Kit mendapati bekalan ayam tidak mencukupi.

Kekurangan itu berlaku berikutan laporan akhbar semalam di mana kemungkinan terdapat pemboikotan kilang pemprosesan ayam hari ini susulan kelewatan subsidi daripada kerajaan kepada penternak ayam.

Seorang peniaga di Pasar Besar Klang berkata, beliau terpaksa menjual ayam pada harga RM13 sekilogram kerana permintaan tinggi daripada pengguna.

Jelasnya, beliau bukan mahu mengambil kesempatan dengan menaikkan harga, tetapi terpaksa berbuat demikian kerana bekalan daripada petani sangat rendah.

“Ayam tidak mencukupi untuk dibeli pengguna. Saya pula tidak dapat bekalan yang mencukupi. Untuk menjual pada harga RM8.90 sekilogram dengan stok terhad adalah tidak berbaloi untuk peniaga.”

“Jika bekalan mencukupi, kita tidak ada masalah untuk menjualnya pada harga RM8.90. Agensi kerajaan atau pihak berkuasa mesti menangani isu ini, cari jalan untuk menyelesaikan perkara itu dan tidak boleh menyalahkan kita (peniaga) yang cuba mencari rezeki,” kata seorang peniaga yang enggan namanya didedahkan.

Lelaki berusia 40-an itu merupakan salah seorang daripada dua peniaga ayam yang beroperasi di Pasar Besar Klang hari ini.

Gerai lain yang menjual ayam ditutup kerana tidak mendapat bekalan.

Semalam, Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia Tan Chee Hee berkata kerajaan perlu menyedari masalah bekalan ayam.

Tan menafikan akan ada boikot pada hujung minggu ini tetapi enggan menjelaskan mengapa terdapat kekurangan bekalan ayam di pasar selama dua hari berturut-turut. – 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen