3 pengadil wanita dilantik julung kalinya untuk Piala Dunia 


Stephanie Frappart dari Perancis merupakan antara tiga pengadil wanita yang dilantik sebagai pegawai perlawanan pada Piala Dunia 2022 di Qatar.– Gambar EPA, 20 Mei, 2022.

JAWATANKUASA Pengadil FIFA pada Khamis mengumumkan pelantikan tiga pengadil wanita buat pertama kalinya sebagai pegawai perlawanan pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Stephanie Frappart dari Perancis, Salima Mukansanga dari Rwanda, dan Yoshimi Yamashita dari Jepun dipilih sebagai pengadil perlawanan bola sepak lelaki, lapor Agensi Anadolu.

Sementara itu, Neuza Back dari Brazil, Karen Diaz Medina dari Mexico, dan Kathryn Nesbitt dari Amerika Syarikat dilantik sebagai pembantu pengadil dalam senarai pegawai perlawanan yang dikeluarkan.

“Seperti biasa, kami mengutamakan kualiti dan pegawai perlawanan yang dipilih mewakili peringkat tertinggi pengadil di seluruh dunia,” kata pengerusi jawatankuasa dan bekas pengadil Itali Pierluigi Collina.

Piala Dunia akan diadakan dari 21 November hingga 18 Disember dengan 32 pasukan dalam lapan kumpulan.– Bernama, 20 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen