FIFA cadang semua perlawanan ditangguh


FIFA mencadangkan semua perlawanan bola sepak antarabangsa ditangguh dan akan menjadualkan semula pusingan kelayakan Piala Dunia 2022. – Gambar AFP, 14 Mac, 2020.

FIFA semalam mencadangkan semua perlawanan bola sepak antarabangsa yang dijadualkan pada Mac dan April ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

Walaupun tidak menyekat perlawanan itu diadakan, badan penyelia bola sepak dunia itu berkata kelab akan dibenarkan untuk tidak menghantar pemain mereka bermain di pasukan negara dalam tempoh dua bulan ini.

FIFA juga berkata ia sedang dalam usaha menjadualkan semula perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 di Asia dan Amerika Selatan yang sudah ditangguhkan.

“Semua perlawanan yang dijadualkan berlaku pada Mac dan April akan ditangguhkan sehingga kita boleh menentukan persekitaran sudah selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, “keputusan akhir” untuk sebarang penangguhan “terletak kepada penganjur pertandingan atau ahli bersekutu lain dalam perlawanan persahabatan.”

Peraturan FIFA sebelum ini mewajibkan kelab untuk melepaskan pemain mereka bermain untuk pasukan negara masing-masing juga digantung sementara.

“Dalam keadaan sekarang berkaitan koronavirus, FIFA memutuskan yang peraturan bola sepak yang biasanya mewajibkan kelab melepaskan pemain mereka untuk pasukan negara tidak terpakai untuk perlawanan pada Mac/April.” – AFP, 14 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen