Pengadil Malaysia adili final Piala Dunia bola sepak pantai


Suhaimi antara empat pengadil dari Asia bertugas pada Piala Dunia bola sepak pantai. – Gambar Facebook, 29 Ogos, 2021.

KUALITI pegawai perlawanan dari Malaysia diiktiraf antarabangsa apabila Suhaimi Mat Hassan dilantik sebagai pengadil utama bagi aksi final Piala Dunia bola sepak pantai 2021 di Moscow, Rusia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan berkata, pengadil berusia 45 tahun itu diberi penghormatan untuk mengadili perlawanan penentuan antara tuan rumah dan Jepun pada jam 12.30 tengah malam ini di Luzhniki Beach Soccer Arena.

Suhaimi dibantu oleh Sofien Benchabane dari Perancis sebagai pengadil kedua, Gionni Matticoli dari Itali (pengadil ketiga), Hany Farouk dari Mesir (penjaga masa) dan Turki Al Salehi dari Oman sebagai pengadil simpanan.

Menurut FAM, Suhaimi yang juga antara empat pengadil dari Asia, menjadi pengadil utama bagi aksi Belarus menentang El Salvador (Kumpulan C), serta sebagai pengadil kedua aksi Portugal bertemu Senegal (Kumpulan D) dan El Salvador melawan Switzerland (Kumpulan C) sepanjang kejohanan itu berlangsung sejak 19 Ogos.

Ia kali kelima Suhaimi bertugas pada Piala Dunia bola sepak pantai dan beliau mempunyai pengalaman mengadili kejohanan berprestij itu pada 2011 di Itali, 2013 di Tahiti, 2015 di Portugal dan 2019 di Paraguay.

“Pada edisi 2019 itu juga beliau terpilih bertugas pada aksi final yang menemukan Itali dan Portugal sebagai pengadil simpanan. Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada Suhaimi dan berharap agar beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik dalam mengendalikan aksi final,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 29 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen