1,730 tentera Ukraine serah diri, kata Rusia 


Tentera Ukraine menyerah diri di kilang keluli Azovstal yang dikepung di bandar pelabuhan Mariupol.– Gambar EPA, 19 Mei, 2022.

KEMENTERIAN pertahanan Rusia pada Khamis berkata 1,730 askar Ukraine telah menyerah diri minggu ini di kilang keluli Azovstal yang dikepung di bandar pelabuhan Mariupol, Ukraine.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, 771 militan rejimen nasionalis Azov menyerah diri,” kata kementerian berkenaan dalam taklimat harian mengenai konflik itu.

“Secara keseluruhan, sejak 16 Mei, 1,730 militan telah menyerah diri, termasuk 80 yang cedera,” tambahnya.

Kementerian mengeluarkan video yang menunjukkan askar yang menyerah diri berjalan keluar dari loji, beberapa kelihatan cedera dan yang lain menggunakan tongkat. Tentera Rusia menepuk mereka dan memeriksa beg mereka semasa mereka keluar.

Kementerian itu berkata, tentera yang cedera dibawa ke hospital di wilayah yang dikuasai Rusia di timur Ukraine.

Ukraine menyatakan pihaknya akan membuat pertukaran tahanan untuk pejuang yang menyerah diri di Azovstal, tetapi Moscow masih belum memberikan jawapan muktamad mengenai isu itu. – AFP, 19 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen