Putin puji 'pembebasan' Mariupol


Presiden Rusia Vladimir Putin bagaimana pun tidak bercadang serang tempat persembunyian saki baki pasukan Ukraine di kilang besi Azovstal, tetapi mengarahkan supaya kawasan perindustrian itu disekat agar tiada "seekor lalat pun dapat melarikan diri". – Gambar EPA, 21 April, 2022.

PRESIDEN Vladimir Putin pada Khamis memuji “pembebasan” Rusia terhadap Mariupol selepas Menteri Pertahanan Sergei Shoigu memberitahunya yang Moscow telah mengambil alih bandar pelabuhan Ukraine itu.

Kawalan penuh terhadap Mariupol di Laut Azov akan menjadi kemenangan strategik utama Rusia yang dapat membantunya menghubungkan Crimea dengan wilaya=] pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

“Mariupol telah dibebaskan,” kata Shoigu kepada Putin semasa mesyuarat yang disiarkan di televisyen. “Baki pembentukan nasionalis berlindung di zon perindustrian kilang Azovstal.”

Shoigu berkata kira-kira 2,000 askar Ukraine kekal di dalam loji itu, di mana kumpulan terakhir pasukan penentang Ukraine berlindung, menggunakan rangkaian terowong bawah tanah kemudahan itu.

Putin berkata “pembebasan” Mariupol adalah “kejayaan” buat tentera Rusia, tetapi mengarahkan Shoigu untuk membatalkan rancangan menyerbu kawasan perindustrian Azovstal, menolaknya sebagai “tidak praktikal”.

“Tidak perlu masuk ke bawah tanah melalui kemudahan perindustrian itu. Sekat kawasan perindustrian itu supaya tiada seekor lalat pun dapat melarikan diri,” kata Putin.

Beribu-ribu orang awam dipercayai terkorban di bandar itu, yang dikepung oleh tentera Rusia sejak lebih sebulan, dengan sedikit akses kepada makanan, air dan tanpa elektrik. – AFP, 21 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen