Lebih 5,000 terkorban dalam krisis di Mariupol, kata Ukraine 


Gambar satelit memaparkan keadaan Mariupol yang berterusan dibom dan dikepung tentera Rusia.– Gambar EPA, 29 Mac, 2022.

UKRAINE pada Isnin berkata sekurang-kurangnya 5,000 orang telah terkorban dalam krisis kemanusiaan yang mencengkam Mariupol, ketika pertempuran berlaku di sekitar Kyiv termasuk di pinggir bandar.

Beberapa bandar di Ukraine masih berdepan pengeboman Rusia menjelang rundingan damai baru secara bersemuka di Turki, ketika Kyiv—dan sekutunya di Barat—berusaha untuk menamatkan perang selama sebulan.

Menurut seorang pegawai kanan Ukraine, sekurang-kurangnya 5,000 orang dikebumikan di pelabuhan selatan Mariupol yang terkepung.

Katanya berkemungkinan seramai 10,000 orang mangsa yang terkorban mengesahkan senario paling gelap kemusnahan di bandar itu.

“Pengebumian dihentikan 10 hari lalu kerana serangan berterusan,” kata Tetyana Lomakina yang merupakan seorang penasihat presiden yang kini bertanggungjawab ke atas koridor kemanusiaan, memberitahu AFP melalui telefon pada Isnin.

Serangan Rusia berhampiran Kyiv menyebabkan lebih 80,000 rumah terputus bekalan elektrik, kata seorang pegawai.

“Untuk menawan Kyiv pada dasarnya adalah menawan Ukraine, dan ini adalah matlamat mereka,” kata timbalan menteri pertahanan Ukraine Ganna Malyar sambil menambah, Rusia cuba menembusi koridor sekitar Kyiv dan menyekat laluan pengangkutan.

Penentangan sengit Ukraine bagaimanapun telah merampas semula kawasan bandar Kyiv yang sangat penting di Irpin daripada tentera Rusia, menurut Menteri Dalam Negeri Ukraine Denys Monastyrsky.

Wartawan AFP berkata tembakan keras terus kedengaran di jalan menuju ke Irpin, bagaimanapun, ketika penduduk termasuk Olga Molchanova, 86 tahun, berpindah dari bandar komuter yang musnah itu.

“Saya hanya berdoa kepada Tuhan untuk keselamatan. Saya berdoa setiap hari untuk tentera yang mempertahankan kita. Semoga mereka diberi keberanian,” kata Molchanova sambil menangis selepas bertemu semula dengan anak perempuannya. – AFP, 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen