Konvoi PBB dalam perjalanan bantu penduduk Mariupol


Ratusan orang awam Ukraine dipoercayai masih terperangkap di Mariupol berikutan serangan berterusan oleh tentera Rusia.– Gambar EPA, 6 Mei, 2022.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Khamis berkata konvoi baharu sedang dalam perjalanan untuk memindahkan orang awam yang terkepung di bandar Mariupol, walaupun Ukraine menuduh Rusia memungkiri janjinya untuk menghentikan tembakan di tempat itu.

Ratusan tentera dan orang awam Ukraine bersembunyi sejak berminggu-minggu selepas terperangkap dalam serangan Rusia di bandar pelabuhan selatan yang strategik itu.

Tentera Rusia mengumumkan gencatan senjata selama tiga hari di kawasan itu, namun komander rejimen Azov, Svyatoslav Palamar, menerusi satu video di Telegram berkata bahawa pertempuran akan diteruskan.

“Rusia melanggar janji gencatan senjata dan tidak membenarkan pemindahan orang awam yang terus bersembunyi daripada membedil di ruang bawah tanah loji itu,” kata Palamar.

Presiden Vladimir Putin berkata Khamis, tentera Rusia masih bersedia untuk membenarkan orang awam meninggalkan kompleks itu, manakala jurucakap Kremlin berkata koridor kemanusiaan “berfungsi”.

Datuk Bandar Mariupol menganggarkan bahawa kira-kira 200 orang awam masih berlindung dalam terowong bawah tanah era Soviet itu.

Menurut Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, antara mereka adalah wanita dan kanak-kanak walaupun salah seorang penasihatnya memberi amaran bahawa maklumat yang diterima adalah “bercanggah.”

Di sebalik ketidakpastian, ketua kemanusiaan PBB Martin Griffiths berkata konvoi penyelamat sedang dalam perjalanan. – AFP, 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen