LEBIH 260 anggota tentera Ukraine berjaya dipindahkan dari kilang keluli Azovstal di bandar Mariupol, kata Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine Ganna Malyar.
Seramai 53 anggota yang cedera parah dipindahkan untuk diberi rawatan di sebuah fasiliti perubatan dekat Novoazovsk, katanya dalam satu kenyataan semalam.
Malyar juga berkata seramai 211 lagi anggota tentera dibawa keluar ke Olenivka melalui koridor kemanusiaan.
Novoazovsk dan Olenivka kini berada di bawah kawalan tentera Rusia dan puak pemisah pro-Rusia.
Sementara itu PresidenVolodymyr Zelensky berharap lebih ramai anggota tentera Ukraine dapat diselamatkan.
“Saya mahu menegaskan bahawa Ukraine akan menyelamatkan nyawa wira-wira kami. Ini prinsip kami,” katanya menerusi video semalam.
Ratusan anggota tentera Ukraine masih berada di dalam kilang keluli Azovstal, yang menjadi benteng terakhir di bandar pelabuhan Mariupol yang ditawan Rusia. – AFP, 17 Mei, 2022.
Komen