Satu kenaikan OPR tidak jejaskan pasaran hartanah, kata penganalisis 


Angie Tan

Bakal pembeli rumah dinasihatkan untuk sentiasa mempertimbangkan berapa banyak yang mereka mampu bayar untuk gadai janji.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2022.

PASARAN hartanah domestik tidak akan terjejas teruk oleh satu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), kata penganalisis hartanah.

Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2% minggu lepas akan menyaksikan faedah untuk ansuran bulanan pinjaman perumahan meningkat, dan dijangka hanya memberi sedikit kesan kepada pasaran perumahan.

Ketua bahagian Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Tan Chong Leng memberitahu The Malaysian Insight berkata kenaikan kadar faedah secara amnya tidak menjejaskan pembeli rumah terlalu teruk.

“Ini kerana kadar faedah gadai janji bank masih lebih rendah berbanding sebelum wabak Covid-19,” katanya sambil menambah kadar faedah tidak akan menjadi faktor utama sama ada orang ramai membuat keputusan untuk membeli hartanah atau tidak.

“Akan ada gabungan faktor lain, seperti keadaan kewangan rakyat akibat pemulihan perniagaan, pemberhentian atau pemotongan gaji.”

Ini kerana negara baru-baru ini memulakan peralihan kepada fasa endemik Covid-19, dan sementara aktiviti perniagaan dan ekonomi telah disambung semula, ramai yang masih mengambil masa untuk pulih. Oleh itu, Tan berkata beliau tidak melihat peningkatan pesat dalam pembelian hartanah.

Begitu juga, Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Chan Ai Cheng percaya kenaikan OPR, yang pertama sejak Julai 2020, tidak akan menjejaskan permintaan dalam pasaran perumahan terlalu banyak kerana pelarasan terakhir adalah dua tahun lalu.

“Setelah berada pada kadar faedah yang rendah sejak dua tahun lalu, ia menunggu masa sebelum pelarasan dibuat.”

Ketua Strategi Phillip Research Sdn Bhd, Phua Lee Kerk, berkata permintaan yang sedikit lemah, secara keseluruhan, boleh dijangkakan kerana harga rumah juga dijangka meningkat disebabkan kos bahan mentah.

“Pinjaman gadai janji akan menjadi agak tinggi, dan akan menyebabkan sesetengah orang yang pada asalnya ingin membeli hartanah untuk mempertimbangkan semula buat masa ini. Ini mungkin membawa kepada permintaan yang lemah sedikit dalam pasaran perumahan.

“Harus diingat juga, bahawa kos bahan perumahan meningkat, dan harga rumah akan meningkat.”

Phua berkata pembeli perlu membuat keputusan antara harga rumah yang lebih tinggi pada masa hadapan, atau membayar kadar faedah yang lebih tinggi sekarang.

“Walau apa pun, saya masih percaya bahawa (kenaikan kadar faedah) akan menjadikan permintaan sedikit lebih lemah. Semua orang terlalu selesa dengan kadar faedah yang rendah untuk sementara waktu,” tambahnya.

Nasihat beliau kepada bakal pembeli rumah adalah untuk sentiasa mempertimbangkan berapa banyak yang mereka mampu bayar untuk gadai janji.

BNM, ketika mengumumkan kenaikan OPR pada 11 Mei, berkata pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi.

Ia memberi amaran bahawa prospek pertumbuhan global akan terus terjejas oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kesan berlarutan daripada pandemik Covid-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan turun naik dalam pasaran kewangan.

Oleh itu, kenaikan OPR adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan faktor-faktor ini.

Kadar OPR sebanyak 1.75% semasa krisis Covid-19 adalah rekod rendah, kata BNM dan diperlukan pada masa itu untuk menyokong ekonomi. Tetapi keperluan yang tidak pernah berlaku sebelum itu, tidak lagi diperlukan sekarang, kata bank pusat itu.

Bagaimanapun, pakar ekonomi berkata satu lagi kenaikan OPR boleh dijangka pada akhir tahun ini.– 16 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen